JAS nafi tumpahan minyak di Pelabuhan Tanjung Bruas

0
234

JABATAN Alam Sekitar (Jas) Melaka menafikan dakwaan terdapat kesan tumpahan minyak dari kapal dikesan setakat ini seperti didakwa berlaku di perairan Selat Melaka di Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling, Melaka.

Pengarah JAS negeri Rosli Osman berkata, pemantauan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Laut malam tadi tidak menemui kesan tompokan minyak hitam seperti didakwa pengadu dalam video berdurasi satu minit 24 saat yang tular sejak semalam.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu pihaknya turut melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh sekiranya berlaku pencemaran minyak di laut.

Katanya, tinjauan turut dilakukan di Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundur, Pantai Klebang selain kawasan pantai di Shah Beach Resort dan di Taman Spring Garden.

“Namun, kita tidak mengesan sebarang aktiviti pembuangan minyak mahupun tompokan minyak hitam di kawasan jeti Tanjung Bruas.

“Selain itu tiada lelehan minyak daripada dua kapal yang sedang berlabuh di jeti terbabit seperti dakwaan beberapa pekerja am pelabuhan di dalam video tular itu,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

Menerusi video tular itu beberapa individu dipercayai pekerja di jeti pelabuhan terbabit mendakwa berlaku aktiviti membuang sisa minyak pada waktu malam membabitkan sebuah kapal.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, pihaknya turut mengambil sampel daripada kedua-dua kapal berlabuh di pelabuhan itu.

“Tujuannya jika kita temui tumpahan minyak di laut nanti kita akan bandingkan dengan sampel diambil daripada kapal terbabit bagi mengetahui puncanya,” katanya sambil memaklumkan orang ramai boleh menghubungi 06-2345720 untuk aduan berkaitan.

Sementara itu, Sidang Kampung Tanjung Kling, Aziz Japar meminta pihak berwajib memandang serius dan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan pencemaran minyak itu.

“Walaupun siasatan JAS dan Jabatan Laut tidak jumpa apa-apa bukti tumpahan minyak, saya berharap siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here