[VIDEO] Seruan jihad untuk Bangsa Johor, tinggalkan segera Umno

0
625

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyeru Bangsa Johor supaya melakukan jihad dengan meninggalkan parti Umno yang banyak melakukan kemungkaran dan kesalahan, dengan menyertai saf perjuangan baharu yang jelas lebih bersih.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini meminta rakyat Johor supaya tidak terus bersubahat atau bersekongkol dengan parti yang mahu menyelamatkan ‘kluster mahkamah’ dan mengangkat mereka sebagai pemimpin.

“Ya, dulu Umno, tetapi kini dan selamanya sudah tidak layak lagi. Tak salah tinggalkan Umno.

“Umno memang lahir di Johor. Itu waktu Umno asal. Selepas Umno diharamkan pada 1988, ia adalah Umno baharu. Tidak sama Umno baharu dengan Umno asal. Umno baharu dilahirkan di Kuala Lumpur, Umno asal dilahirkan di Istana Besar Johor Bahru.

“Ini Tok Guru Hadi Awang (Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang) ada, apa ‘fatwa’ kalau meninggalkan UMNO dan menyertai PN? Harus, boleh jadi hukumnya sunat, mendapat pahala, hijrah meninggalkan yang mungkar.

“Menyertai sesuatu yang menegakkan kebenaran dan yang ada di sini adalah satu amal, satu ibadah kerana kita tidak akan bersama kluster rasuah, kluster mahkamah. Tinggalkan Umno, tidak mengapa, tiada salah.

“Pilih saja parti yang bersih, pilih saja Bersatu, PAS, Gerakan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah, Kota Tinggi, Johor, malam tadi.

Turut hadir, Abdul Hadi; Timbalan Presiden PN dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta pemimpin kanan Parti Pribumi Malaysia (Bersatu).

Majlis itu dihadiri lebih 5,000 orang dan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial Facebook PN serta parti gabungan.

Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Johor oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, ada sesetengah ‘orang lama’ yang masih berbelah bahagi untuk meninggalkan Umno kerana mengingati jasa bekas Perdana Menteri kedua negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein membangunkan tanah FELDA.

Namun, katanya ada sebilangan pihak yang bersetuju dengan pendapatnya tetapi masih ragu-ragu untuk meninggalkan Umno dan mengingatkan mereka supaya melihat sejarah apabila ramai pemimpin utama mereka sudah keluar parti berkenaan.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman (bekas Perdana Menteri pertama negara), UMNO. Namun ketika meninggal dunia, Almarhum bukan UMNO.

“Almarhum Tun Hussein Onn pula (bekas Perdana Menteri ketiga negara), selepas Perhimpunan Melayu Johor saya anjurkan, jemput dan pelawa Almarhum untuk balik semula kepada UMNO. Almarhum kata tidak mahu sudah. Sehingga Almarhum meninggal dunia, tidak dalam UMNO.

“Tun Dr Mahathir Mohamad masih hidup lagi sudah keluar UMNO. Saya juga adalah bekas pemimpin Umno,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh ini menegaskan sudah tiba masanya untuk menyusun semula pentadbiran kerajaan baharu dan memulakan langkah itu dengan PRN Johor.

“Kita mulakan dengan Johor. Masa untuk Umno dan BN sudah berlalu. Ini kubu kuat Umno, (tetapi) sampai sekarang pun mereka kalah kerana rakyat sudah membuktikan pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum), mereka kalah di kubu kuat Umno,” katanya – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here