Shafie Apdal, ahli Warisan dihalang jumpa peniaga di Pasir Gudang

0
323

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berlapang dada dan tidak kisah apabila beliau bersama-sama ahli parti dihalang bertemu peniaga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Pasir Gudang, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menyifatkan apa yang berlaku sebagai perkara biasa dan asam garam politik.

“Sistem demokrasi seharusnya ditegakkan termasuk tidak menghalang mana-mana pihak melakukan aktiviti yang tidak menyalahi prosedur operasi standard (SOP).

“Tidak apalah, itu perkara biasa. Saya tidak kisah sangat politik sebegini. Semasa kita perintah Sabah semua dewan boleh pakai, sama ada pembangkang ke atau kerajaan ke, yang penting mereka sewa dewan. Saya tidak pernah halang.

“Sistem demokrasi yang ada patut ditegakkan, terserah. Bagi rakyat pilih, jangan halang mana-mana pihak.

“Kalau rakyat dah ditetapkan itu kehendak mereka, itu bukan kehendak kita, maka kita tiada pilihan selain menerima kehendak rakyat dengan hati terbuka.

“Sistem demokrasi seharusnya ditegakkan termasuk tidak menghalang mana-mana pihak melakukan aktiviti yang tidak menyalahi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan perniagaan Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

Sebelum itu Mohd. Shafie dijadualkan melakukan tinjauan mesra ke Pasar Muafakat Sabah pada pukul 10 pagi tadi tetapi didapati ditutup.

Penjaga premis di situ memberitahu, perniagaan tersebut ditutup hari ini, bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi.

Sebelum ini, Pasar Muafakat Sabah di Seri Alam, beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 7 pagi hingga 7 malam, setiap hari.

Kelmarin, Warisan mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Mohd Shafie dilaporkan berkata keputusan parti berkenaan untuk bertanding pada PRN Johor adalah bagi memberi pilihan kepada pengundi.

Kawasan Permas mempunyai ramai bilangan penduduk Sabah dan Sarawak yang berhijrah dan menetap di Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Dianggarkan seramai 250,000 masyarakat Sabah dan Sarawak berada di dua daerah tersebut dan sebilangan mereka turut bekerja di Singapura. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here