Suri rumah, akauntan rugi RM49,000 akibat ditipu

0
487

SEORANG suri rumah dan seorang akauntan merupakan dua lagi mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan menggunakan taktik tawaran kerja palsu, membabitkan kerugian RM49,000 di Kuantan, Pahang semalam.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kerugian masing-masing RM35,000 dan RM14,000, lapor Berita Harian.

Dalam kes pertama, seorang suri rumah berusia 35 tahun ditipu suspek yang memperkenalkan diri sebagai Manager Lin, kononnya menawarkan kerja sambilan yang beralamat di Ladang Gali Estate Jalan Lipis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, sebelum kejadian, mangsa dihubungi suspek melalui WhatsApp, sebelum bersetuju dengan tawaran tersebut, lalu memindahkan bayaran RM510 ke dalam akuan bank seperti diminta.

Katanya, selepas dua urusan berhasil di mana mangsa menerima keuntungan RM124 melalui pekerjaan itu, kelmarin suspek cuba meyakinkan mangsa supaya memindahkan lebih banyak wang untuk mendapatkan lebih keuntungan.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan janji manis suspek lalu memindahkan RM35,000 melalui enam transaksi ke dalam tiga akaun berbeza diberi suspek.

“Mangsa hanya menyedari tertipu selepas tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan dan Manager Lin gagal dihubungi, sebelum dia tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam,” ujar beliau.

Menurut Mohd Wazir, modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang tidak wujud, namun mangsa perlu membayar perkhidmatan disediakan.

Dalam kes berasingan pula ujarnya, seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga akauntan kerugian lebih RM14,000 selepas terpedaya dengan taktik sama iaitu menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud.

Beliau berkata, mangsa dari Kampung Padang Dua Jalan Bukit Goh, hanya melakukan kerja sambilan dalam talian dan berpeluang menerima komisen 10 peratus daripada pekerjaan dilakukan.

Menurutnya, mangsa merasa tertipu apabila komisen dijanjikan tidak diterima sedangkan sudah membuat bayaran seperti diarahkan, sebelum mangsa membuat laporan di IPD Kuantan semalam.

“Saya nasihatkan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud memandangkan kes sebegini semakin banyak berlaku dan menyebabkan kerugian besar kepada mangsa,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here