Empat didakwa bunuh bekas banduan

0
1066

EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor hari ini atas tuduhan membunuh seorang bekas banduan di Kampung Mersing Kanan, pada awal Februari lalu.

Tertuduh, Muhamad Azrul Othman, 32; Quyum Razi Abdullah, 33; Hardianshah Adnan, 31 dan Syed Mahadi Munap, 42, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Rashidah Baharom.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd Rizal Ab Talib, 39, di tepi Jalan Dato Onn, dekat Mersing Kanan kira-kira jam 7.19 hingga 7.22 pagi 3 Februari lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati.

Mahkamah menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Rashidah turut mencadangkan kepada semua tertuduh melantik peguam sebelum tarikh sebutan semula kes bagi membela diri.

Pada 3 Februari lalu, media melaporkan seorang penganggur maut dalam perbalahan dipercayai membabitkan kes dadah di Jalan Dato Onn di Mersing Kanan.

Punca kematian mangsa dipercayai akibat kecederaan parah pada tengkuk dan pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan senjata digunakan.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here