Kes rogol: Paul Yong, isteri kontak rapat kes Covid-19, bicara ditangguh

0
238

MAHKAMAH Tinggi Ipoh pada Selasa menangguhkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tronoh Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lepas setelah Yong dan isterinya menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan 16, 30 dan 31 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan peguam Datuk Rajpal Singh dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

Rajpal berkata, Paul yang juga saksi pembelaan utama dan isterinya, Too Choon Looi iaitu saksi pembelaan kedua memaklumkan mereka menjadi kontak rapat adik perempuan isteri Paul yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Februari selepas melakukan ujian PCR dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

“Aplikasi MySejahtera (status) kedua-duanya telah bertukar sebagai kontak rapat dan berubah menjadi warna oren. Kami terpaksa memohon penangguhan kerana saksi pembelaan utama iaitu tertuduh (Yong) sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari ini dan esok,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Yong diwakili Rajpal dan Salim Bashir.
 
Sementara itu, Azlina berkata, tiada bantahan daripada pihak pendakwaan kerana ia merupakan alasan yang sah berikutan COVID-19 adalah sangat berbahaya.

Rajpal turut memaklumkan penyataan saksi kedua-dua suami isteri itu telah diserah kepada pihak pendakwaan  sejak 31 Januari lepas.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Rajpal berkata, Paul yang sudah mendapatkan dos penggalak, perlu menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sehingga esok.

Paul, 52, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Paul yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, sepatutnya membela diri hari ini. – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here