PRN Johor: Laluan sukar PKR di Kempas, Larkin, Tiram

0
543

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) pagi ini mengumumkan lima calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Johor Selatan.

Presiden (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima calon berkenaan melibatkan empat muka baharu manakala seorang lagi mula lama yang kembali bertanding.

PKR mempertaruhkan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Kamis Maharan untuk kerusi DUN Kempas; Bendahari PKR Cabang Pasir Gudang, Dr. Zamil Najwah Arbain (DUN Larkin); Setiausaha PKR Cabang Tebrau, Chong Sen Sern (DUN Bukit Batu) dan Setiausaha Angakatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohd. Fakhruddin Moslim (DUN Pasir Raja).

Keempat-empat calon ini merupakan muka baharu manakala Naib Pengerusi PKR Johor, S. Gopalakrishnan akan kembali mempertahankan DUN Tiram.

Calon PKR bagi kawasan Zon Tengah dan Zon Utara akan diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada petang dan malam ini.

Anwar semasa sidang akhbar selepas pengumuan calon berkenaan, mengakui memang ada masalah untuk menentukan calon yang benar-benar layak.

Katanya, masalah pemilihan calon itu termasuk melibatkan rundingan bersama-sama parti komponen PH dan rakan pembangkang sebelum ini.

“Keadilan ini parti majoriti Melayu, asas Melayu, tapi pelbagai kaum. Satu-satunya parti yang menampilkan tokoh semua kaum. Ini parti yang berani bertahan di bandar, bertembung di desa.

“Ini perbezaan kita. Sesetengah orang pilih hanya di bandar, tak berani terjun ke kampung. Kita bertarung di bandar, desa, kawasan India, Melayu, Cina dan lain-lain. Betapa sukar pun kita harus berdepan,” katanya.

Napsiah Kamis dijangka akan bertembung dengan Timbalan Ketua Negeri Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding di DUN Kempas.

Beliau bukan sahaja akan berdepan Nornekman yang mungkin akan dibayangi populariti dan pengaruh bapanya, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar Johor, tetapi juga calon UMNO.

Antara calon yang disebut-sebut adalah Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, anak didik veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.

Ketua Wanita PKR Johor yang berusia 42 tahun itu mungkin boleh menarik nafas lega sedikit kerana sebelum ini PH menang di Kempas.

Kekecewaan Napsiah Kamis mungkin terubat selepas sebelum ini berhasrat untuk bertanding di DUN Puteri Wangsa tetapi kerusi itu kemudian diserahkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) lalu berlaku pertelagahan terbuka antara kedua-dua parti itu.

Bagi Dr. Zamil Najwah dan Chong Sen Sern yang akan merebut kerusi DUN Larkin serta DUN Bukit Batu dilihat mempunyai laluan mudah kerana dua penyandang di kerusi berkenaan sebelum ini menang dengan majoriti selesa.

Namun tidak dinafikan Dr. Zamil Najwah akan melalui pertembungan sengit kerana Larkin menjadi rebutan bukan sahaja Barisan Nasional (BN) tetapi juga Perikatan Nasional (PN) dan parti pembangkang lain yang akan menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru.

Bagi Sen Sern pula dilihat tidak terlalu sukar untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Batu yang sebelum ini disandang Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga bekas Exco kerajaan negeri Johor. Ini kerana kawasan itu dilihat sebagai kubu PH.

Tiada siapa menjangkakan Gopalakrishnan akan dicalonkan semula di DUN Tiram. Bekas ADUN Tiram itu sebelum ini berbalas kenyataan dengan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengkritiknya sebelum ini.

Gopalakrishnan mempersoalkan kenyataan Syed Saddiq yang mendakwanya tidak mengambil berat kebajikan masyarakat India semasa menjadi ADUN Tiram, sekali gus menafikan kenyataan Ahli Parlimen Muar itu yang dilihat mencalar imej dan kredibilitinya.

Walaupun menang dengan majoriti 8,098 undi menewaskan calon UMNO, Datuk Maulizan Bujang yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau dan calon Pas Azman Atmin sebelum ini, rekod perkhidmatan Gopalakrishnan yang buruk dilihat sukar untuk membantunya kembali menang di DUN Tiram.

Ini ditambah lagi dengan dakwaan Gabungan Persatuan Negeri Johor pada 8 Februari lalu yang mendedahkan salah laku Gopalakrishnan antaranya tuntutan palsu, penyelewengan wang sumbangan Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan terlibat dalam gangsterisme.

Selain itu, sehingga kini, Anwar masih belum mengumumkan secara rasmi siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ untuk PKR atau PH begitu calon Menteri Besar Johor sekiranya pihaknya menang PRN negeri itu.

Sebelum ini Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor jika PH menang PRN Johor.

Dakwaan tersebut ada asasnya kerana bekas Menteri Pendidikan itu dijangka bertanding di kerusi DUN Layang Layang.

Keputusan Dr. Maszlee untuk bertanding di DUN Layang Layang akan diumumkan Anwar petang ini yang melibatkan calon PKR untuk Zon Tengah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here