Polis tahan bapa dua beradik maut makan sisa dari tong sampah

0
412

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG lelaki berusia 36 tahun iaitu bapa kepada dua beradik yang maut akibat memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi semalam, ditahan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, bapa kanak-kanak itu yang berasal dari Myanmar ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Selain itu dia turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen masuk ke negara ini.

“Polis turut melakukan ujian urin terhadapnya dan dia didapati positif dadah. Sehubungan itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baca berita berkaitan: Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah

Semalam Warta Rakyat melaporkan mengenai kematian dua kanak-kanak berusia empat dan dua tahun dipercayai tidak lama selepas mereka menjamah sisa makanan dari tong sampah.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.40 petang dengan kanak-kanak tersebut didakwa ditemukan dalam keadaan terhuyung-hayang oleh bapa mereka dan mulut kedua-duanya berbuih.

Shariman memaklumkan, mayat dua beradik itu akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat, hari ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here