Britain percaya Rusia pasti akan serang Ukraine

0
313

SERANGAN Rusia ke atas Ukraine semakin hari semakin menjadi kenyataan jika dilihat kepada kebuntuan usaha-usaha diplomatik yang dijalankan setakat ini.

Menurut Setiausaha pertahanan Britain, Ben Wallace beliau percaya Rusia “berkemungkinan besar” akan menyerang Ukraine walaupun terdapat usaha diplomatik oleh negara-negara Barat untuk meredakan krisis itu.

Wallace dalam temu bual dengan The Sunday Times, membandingkan usaha diplomatik semasa dengan Perjanjian Munich 1938 yang bertujuan menghalang Perang Dunia II tetapi akhirnya gagal akibat pencerobohan Jerman ke atas Poland, lapor Agensi Anadolu.

Setiausaha Ireland Utara Brandon Lewis juga menyamakan tindakan Presiden Rusia Vladimir Putin seperti mana Adolf Hitler, kerana banyak usaha diplomasi dilakukan untuk menghalang Reich Ketiga daripada melancarkan perang baharu.

“Putin boleh sahaja menghentikan kereta kebalnya dan kita semua pulang ke rumah tetapi sesetengah pihak di Barat berpendapat bahawa terdapat sedikit persamaan seperti mana berlaku di Munich satu ketika dahulu,”kata Wallace.

“Jika anda melihat kembali tempoh masa itu terdapat banyak penglibatan diplomatik, terdapat keyakinan (akan selesai) pada masa itu, akhirnya ternyata tidak berlaku, ternyata itu bukan niat atau matlamat Adolf Hitler pada masa itu,” kata beliau dalam temubual dengan BBC.

Jumaat lalu, pihak perisikan AS melaporkan bahawa Moscow menyasarkan serangan kilat yang bakal menyaksikan tentera Ukraine tewas dan pengepungan ibu kotanya akan berlaku dalam beberapa hari di mana perubahan rejim akan berlaku.- AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here