PRN Johor: Manifesto PN berdasarkan suara akar umbi, anak muda

0
499

PERIKATAN Nasional (PN) akan merangka manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan suara akar umbi terutamanya melibatkan golongan anak muda.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan turun padang di peringkat akar umbi di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, bagi mengetahui permasalahan mereka.

Beliau berkata, antara yang akan didengari adalah keluhan dan keresahan anak muda yang berhadapan pelbagai masalah, termasuk membabitkan soal pekerjaan susulan penularan pandemik Covid-19.

“Bagi manifesto di PRN Johor ini, kita perlu ada sekurang-kurangnya satu tawaran baharu dan saya yakin semua pemimpin PN akan meneliti cadangan-cadangan daripada akar umbi, dan PN akan cuba membantu menyelesaikannya.

“Selain mendengar isu pekerjaan dalam kalangan anak muda, kita juga akan melihat dan cuba membantu sektor industri kecil dan sederhana (IKS) yang juga terkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN Negeri Johor di Parit Besar dekat sini, malam tadi.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, pihaknya akan turun ke setiap peringkat bagi mendengar permasalahan daripada anak muda, dan bukan sekadar memantau di media sosial.

“Tidak semua anak muda ini aktif di media sosial dan sebab itulah kita akan mengambil pendekatan dengan mendekati anak muda di Felda, kampung dan mereka yang bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Mereka ini jarang melihat atau aktif di media sosial, jadi kita akan dengar suara mereka dan pada masa sama kita akan angkat suara mereka,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung calon anak muda bagi PRN Johor, beliau berkata, pihaknya berharap agar pimpinan tertinggi PN dapat menyenaraikan calon daripada golongan berkenaan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu.

“Kita sudah ada sasaran untuk kerusi bagi meletakkan calon anak muda, namun ia tertakluk kepada keputusan PN pusat. Bagaimanapun bagi kami perkara paling penting adalah calon berkenaan perlu mempunyai kredibiliti, bersih dan telah ditapis serta bebas daripada rasuah,” kata Wan Ahmad Fayhsal. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here