Kalau ‘langkah Sheraton’, langkah bodoh … UMNO ikut apa hal?

0
338

AGAK kelakar bila Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr.Puad Zarkashi mendakwa Bersatu tidak berani keluar daripada Kerajaan dan takut jika pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.

Paling melucukan apabila Puad yang kalah di Parlimen Batu Pahat pada PRU-13 dan tidak bertanding pada PRU-14 berhujah;

‘’Bersatu sebenarnya takut PRU awal. Apakah tumbangkan kerajaan sendiri (22 bulan) dan langkah Sheraton bukan langkah bodoh yang bunuh rakyat? Maka apakah kamu bertanggungjawab?.’’

Dan sambil merujuk kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan, beliau tidak mahu rakyat terkorban dengan langkah bodoh Bersatu keluar daripada kerajaan, Puad yang menjadi Ketua Pengarah JASA ketika Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam PRU-14 selepas 61 tahun memerintah berkata;

“Sebenarnya rakyat sudah ramai terkorban kerana PKP (perintah kawalan pergerakan) separuh masak oleh PM ke-8. “Mereka hilang perniagaan, hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan ada yang bunuh diri.’’

Puad berkata, Bersatu sebenarnya tidak akan berani keluar daripada kerajaan.

Pertamanya, kalau Puad bangkitkan persoalan ‘’langkah Sheraton bukankah langkah bodoh yang bunuh rakyat, maka apakah kamu bertanggungjawab’’ , kenapakah UMNO yang cerdik itu boleh ikut terlibat dalam gerakan tersebut, kalau betul ia langkah bodoh?

Kenapakah Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bersedia menandatangani surat bersama Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyokong Muhyiddin untuk jadi Perdana Menteri Ke-8.

Kenapa semasa itu tidak ada suara daripada UMNO bertanya ‘bukankah Langkah Sheraton’ itu langkah bodoh yang bunuh rakyat’?

Disebabkan’langkah Sheraton’ yang dianggap bunuh rakyatlah, UMNO kini menjadi Perdana Menteri dan kembali berada dalam kerajaan walaupun ditolak bulat-bulat oleh rakyat dalam PRU-14. Tetapi kenapa sekarang secara tiba-tiba pemimpin UMNO yang bijak pandai baru nak bercakap dan mempersoalkan ‘langkah Sheraton’?

Penulis juga bertanya tidakkah tindakan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada Muhyiddin ketika Ahli Parlimen Pagoh itu sedang bertungkus lumus bersama-sama empat menteri kanan daripada UMNO menguruskan Covid-19 dan berusaha memulihkan kehidupan rakyat bukan tindakan bodoh?

Apa yang Muhyiddin tegaskan soal tidak akan menarik diri itu bukan soal ugutan atau tidak apatah lagi berkaitan jawatan menteri adalah talian hayat Bersatu seperti mana hujah dangkal Puad tetapi Muhyiddin dan Perikatan Nasional tidak tergamak ‘melakukan perbuatan bodoh’ menarik sokongan kepada Perdana Menteri ketika rakyat terus diancam pandemik Covid-19.

Seperkara lagi soal ‘lockdown separuh masak’, cuma penulis nak tanya sebagai seorang yang pernah berada dalam satu jawatan strategis dalam kerajaan sebagai Ketua Pengarah JASA, adakah apabila Perdana Menteri hendak membuat keputusan besar apatah lagi melibatkan kehidupan rakyat dan negara, beliau melakukan secara sendirian tanpa berbincang dengan sesiapa?

Bukankah ketika pandemik itu melanda Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mengadakan mesyuarat setiap hari ini dan turut berada dalam mesyuarat serta membuat pengumuman keputusan kerajaan ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu adalah Menteri Kanan Pertahanan?

Kenapakah Puad tidak bercakap soal ‘kebertanggungjawab bersama’? Senanglah hidup, kalau bila dapat pujian semua itu disebabkan menteri UMNO, bila ada masalah itu salah Perdana Menteri!

Sekarang kes mencanak naik adakah itu salah Perdana Menteri? Adakah itu kegagalan menteri-menteri UMNO yang bertanggungjawab soal Covid-19? Kenapa Puad tidak bersuara dalam soal ini?

Sebenarnya sejak awal lagi, apabila Covid-19 melanda kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin sudah melakukan langkah yang betul terutama dalam memulihkan ekonomi, membantu rakyat dan melaksanakan Program Imunasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), tetapi malangnya kerajaan ketika itu ‘diserang’ habis-habisan oleh pemimpin UMNO termasuk Puad.

Sekarang kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri meneruskan apa yang sudah dicetuskan oleh Muhyiddin dalam menangani Covid-19, tetapi ramai pemimpin UMNO yang sengaja ‘pekakkan telinga’ dan ‘butakan mata’untuk mengiktiraf apa yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

Sebenarnya, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila Puad ‘menyerang’ atau ‘membidas’ Muhyiddin tidak habis-habis, yang luar biasanya kalau beliau memuji Muhyiddin. Kenapa? Hanya Allah mahu mengetahui cumanya janganlah beremosi sangat.

Lagipun daripada Puad dok tumpu kritik Muhyiddin, lebih baik kukuhkan jentera parti di Parlimen Batu Pahat, selain perlu merampas kembali kerusi itu dalam PRU-15 sebab ‘malu juga’ memandangkan sudah dua penggal kerusi itu terlepas daripada UMNO, pastikan dalam PRN Johor 12 Mac ini, selain DUN Rengit dipertahankan, usahakan merampas DUN Senggarang dan Penggaram.  Paling seronok kalau Puad sendiri bertanding di salah satu kerusi DUN itu.

Bukan apa nak ingatkan pesan orang tua-tuan, ‘jangan jadi tin kosong, bunyi kuat isinya tiada….’’

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

SatuBerita menghargai pendapat anda.

Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here