Dakwaan ADUN Bersatu akan tarik sokongan terhadap Sanusi tak logik

0
260

Oleh RIZQI ZABIDI

DAKWAAN kononnya ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di negeri ini akan bersama ADUN UMNO untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, adalah tidak logik.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, ketika ini beliau tidak nampak sebab untuk mana-mana pihak berbuat demikikan ketika Muhammad Sanusi menerajui kerajaan negeri dengan cukup cemerlang.

Justeru katanya, beliau yakin bahawa dakwaan yang tular di media sosial itu tidak lebih daripada sekadar khabar angin semata-mata.

“Kepimpinan Muhammad Sanusi ketika ini seakan berada di kemuncak dan anda boleh lihat berapa banyak pelaburan yang masuk, termasuk diumumkan di Bandar Raya Getah (KRC) kelmarin.

“Jadi kalau kita tarik sokongan, kita hendak cari yang macam mana lagi? Buat masa sekarang saya tak fikir akan ada ADUN Bersatu yang akan melompat,” katanya kepada Warta Rakyat di sini, hari ini.

Ketika ini terdapat khabar mengatakan beberapa ADUN akan menarik sokongan kepada Muhammad Sanusi sekali gus menjadikan Kedah sebagai negeri ketiga yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) selepas Melaka dan Johor.

Suhaimi menambah, walaupun beliau merasakan perkara itu sebagai sesuatu yang tidak logik dan tidak akan berlaku, Bersatu bersama Pas di Kedah tetap bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

“Kita sudah adakan muzakarah bersama Pas dan kita nekad untuk bersama dalam apa jua keadaan. Kita akan lawan dan selebihnya, kita bertawakal.

“Masing-masing ada strategi, begitu juga dengan Bersatu. Kita percaya dengan kekuatan ahli yang sentiasa bergerak aktif di negeri ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here