PRN Johor: PN mampu cipta kejutan – Amar  

0
507

PERIKATAN Nasional (PN) berpeluang untuk membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun ia banyak bergantung kepada perancangan dan gerak kerja gabungan itu memenangi hati pengundi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata walaupun Johor diketahui kubu UMNO, namun peluang untuk PN memenangi kerusi di negeri berkenaan tidak boleh dinafikan.

“Ia bergantung kepada perancancangan dan gerak kerja PN untuk meraih undi dan sekiranya berjalan lancar, mereka mungkin boleh membuat kejutan.

“Dari segi peluang di PRN Johor, seperti Melaka juga cuma kita lihat ada potensi terutama dari segi pengundi baharu. Seramai lebih 700,000 dalam senarai pengundi baharu di Johor.

“Kita bukan mensasarkan semua pengundi muda, cuma mereka antara yang berpotensi kerana kebanyakan mereka tidak terikat dengan parti. Mereka akan mengundi mengikut calon dan isu semasa, jadi potensi banyak di situ.

“Justeru, bergantung kepada perancangan dan gerak kerja. Jika semuanya berjalan dengan baik, mungkin kita (PN)boleh buat kejutan,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika ditemui di pejabatnya, di Kelantan, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS dan BERSATU bersetuju untuk mewujudkan jentera bersama bagi menghadapi PRN.

“Jika di PRN Melaka sebelum ini, jentera kedua-dua parti adalah berasingan termasuk bilik gerakan, kali ini kita wujudkan jawatankuasa bersama supaya memudahkan penyelarasan,” katanya.

Mohd Amar turut berharap prosedur operasi standard (SOP) kemas dan ketat di PRN berkenaan bagi mengelak kes COVID-19 terus meningkat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here