UMNO sasar kerusi yang ditandingi MCA, MIC

0
471

BEBERAPA bahagian UMNO Johor telah menghantar permohonan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandingi parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permohonan itu akan diteliti dan diputuskan pucuk pimpinan negeri serta pusat tanpa menjejaskan hubungan antara parti komponen BN.

“Beberapa bahagian UMNO menyuarakan pandangan berhubung isu ini.

“Bukan sahaja di (DUN) Pulai Sebatang tetapi ada satu dua tempat lain di Johor,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah sempena Tahun Baharu Cina anjuran MCA Bahagian Pontian pada malam Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong.

Bulan lepas, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN pada PRN Johor namun belum mengambil kira kerusi bagi parti komponen BN yang lain.

Ahmad Maslan berkata, calon BN bagi PRN tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Hasni akan dipilih sebagai Menteri Besar Johor yang baharu sekiranya BN menang pada pilihan raya negeri itu.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran DUN itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan esok. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here