Warga emas maut langgar kerbau

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau di Kilometer 5 Jalan Kuala Berang- Tanggol, Kampung Pulau Kudat, Hulu Terengganu, pagi semalam.

Mangsa, Ilias Awang, 76, dari Kampung Kuala Kejir disahkan meninggal dunia pada pukul 9.06 malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud, kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk membeli kuih di kedai makan di Kampung Pulau Kudat pada pukul 8.15 pagi.

Mohd Adli Mat Daud

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5 gagal mengawal motosikal lalu melanggar seekor kerbau yang berada di situ.

Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke HSNZ, Kuala Terengganu.

“Namun, pada pukul 9.06 malam, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.

Menurut Mohd Adli, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SB