[VIDEO] PRN Johor: Detik terbaik tolak pemimpin rasuah – Muhyiddin

0
492

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai medan terbaik untuk rakyat bangkit menentang kelompok pemimpin yang terlibat dalam salah laku rasuah dan juga mereka yang sedang didakwa di mahkamah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian pengundi di Johor yang membiarkan kelompok pemimpin itu untuk terus menerajui tampak kepimpinan dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.

“Sudah tiba masanya untuk kita atau pengundi di Johor tunjukkan kebencian terhadap orang-orang seperti ini yang memimpin parti. Zahirnya nampak seperti okay, tetapi sudah rosak.

“Banyak kemungkaran-kemungkaran yang berlaku, kesalahan-kesalahan yang sudah disabitkan di mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Ini bukan boleh dipandang remeh dari sudut apa sekalipun, ia harus ditentang dan ditolak,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada Isnin.

Katanya, pengundi-pengundi di Johor mempunyai pilihan samada untuk masih memberi peluang kepada parti yang sudah terpalit dengan kes-kes di mahkamah atau sebaliknya.

“Ini (PRN) satu kesempatan atau boleh dikatakan sebagai satu ‘rahmat’ untuk pengundi di Johor memikirkan adakah mereka bersedia untuk melibatkan diri mereka terhadap kelompok yang diwakili oleh BN ataupun tidak? Mereka ada pilihan.

“Saya menawarkan parti saya. Tiada kes langsung, bersih. Malahan kita juga membuat ikrar untuk menentang rasuah. Calon di Johor juga akan angkat sumpah sepertimana di Melaka untuk menentang rasuah. Parti lain tak buat (sumpah) di Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin dengan tegas menolak pandangan mereka yang melihat ‘Kluster Mahkamah’ itu mempunyai hak untuk mendapat hak sama rata sepertimana orang lain.

“Mereka tak sama seperti orang lain. Datuk Seri Najib sudah didapati bersalah, sedang dalam proses rayuan. Datuk Seri Zahid sudah diarahkan untuk membela diri kerana pihak mahkamah dapati ada prima facie untuk dakwaannya.

“Ini dua pemimpin yang memimpin BN. Bukan sahaja Melayu Islam, malah mana-mana agama juga menolak penglibatan di dalam jenayah.

Dalam pada itu, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) mampu untuk mentadbir jauh lebih baik…. Perikatan Nasional sekiranya gagasan parti berkenaan diberikan mandat oleh rakyat Johor untuk mentadbir kerajaan negeri.

“Saya fikir, tolak UMNO, gantikan dengan parti lain. Saya percaya, Perikatan Nasional boleh mentadbir dengan lebih baik.

“Kami berjanji kepada diri kami untuk lakukan yang terbaik dalam memartabatkan Perlembagaan Persekutuan dan menolak segala bentuk penyalahgunaan kuasa, korupsi dan sebagainya,” ujarnya. —SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here