Status vaksinasi lengkap luput jika tidak ambil dos penggalak sebelum 1 Mac – Khairy

Peringatan kepada individu 60 tahun ke atas dan penerima vaksin Sinovac

0
366

INDIVIDU berusia 60 tahun ke atas dan penerima lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac ini. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, susulan itu, golongan itu diminta untuk hadir segera bagi mendapatkan dos penggalak secara ‘walk-in’ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

“Dos penggalak memberi perlindungan daripada jangkitan COVID-19 terutama sekali komplikasi teruk.

“Data harian menunjukkan individu yang belum divaksin adalah 9 kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan maut berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak,” katanya dalam sidang media kementeriannya, pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju memberi pilihan kepada orang ramai bagi mendapatkan vaksin Sinovac bagi suntikan dos penggalak pelalian COVID-19.

Ia berikutan seramai 3.5 juta penerima vaksin Sinovac dikenal pasti belum mengambil suntikan dos penggalak pelalian COVID-19.

Keputusan itu katanya, dibuat selepas mengambil kira pengambilan dos penggalak daripada apa-apa jenama vaksin adalah lebih baik, berbanding langsung tidak mengambil dos berkenaan.

“Saya setuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ada keengganan daripada penerima Sinovac untuk mendapatkan dos penggalak daripada Pfizer-BioNTech.

“Kita akan memberi pilihan (kepada penerima) jika mahu mendapatkan Sinovac (bagi dos penggalak), namun perlindungan terbaik masih Pfizer dan AstraZaneca.

“Kita akan beri pilihan dan kita masih ada lagi sedikit stok yang tersedia untuk berasaskan konsep ‘siapa cepat dia dapat’, selain ia akan umumkan melalui Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF),” katanya.

Sementara itu menurutnya, KKM  kini dalam proses membangunkan COVID-19 Clinical Care Pathway.

Beliau berkata, ia bertujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberi kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal ketika mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.

“Rawatan antiviral ini membabitkan pesakit di Klinik Kesihatan, COVID-19 Assesssment Center, PKRC dan hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke wad.

“Rawatan akan dimulakan selepas bekalan ubat antiviral itu tersedia,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here