Polis tahan 13 pemandu mabuk

0
395

SERAMAI 13 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan sekitar ibu negara pada malam hujung minggu hingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata semua 13 lelaki itu ditahan selepas ujian awal saringan awal pernafasan mendapati paras alkohol dalam tubuh mereka melebihi paras dibenarkan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 28 hingga 50 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, polis turut menahan tujuh lelaki, termasuk remaja berusia 17 hingga 22 tahun kerana menunggang motosikal secara berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Op Samseng Jalan dan Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan oleh Unit Kuatkuasa JSPT Kuala Lumpur itu dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Sementara itu, Sarifudin berkata sebanyak 3,144 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi itu dengan 35 motosikal disita kerana mengubahsuai ekzos.

“Selain itu, sejumlah 10 saman turut dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur ke atas 10 penunggang motosikal yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here