Pelanggan curi wang pemilik restoran

0
479

SEORANG buruh warga Indonesia hanya sempat menikmati sebahagian daripada wang curi RM15,000 dari sebuah restoran, apabila ditahan polis beberapa jam selepas itu.

Suspek adalah pelanggan tetap sebuah restoran di Jalan Tenggiri 17/23, Seksyen 17, di Shah Alam, Selangor dikatakan mencuri wang pemilik restoran, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata lelaki berusia 26 tahun itu, ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di sekitar tempat kejadian susulan laporan polis dibuat pemilik restoran sebelum itu.

“Pemilik restoran menganggarkan RM15,000 tunai diletakkan dalam beg tangannya. Suspek dikenal pasti sebagai pelanggan yang sering ke restoran berkenaan, berjaya dikesan dan ditahan oleh anggota dari Balai Polis Sri Muda.

“Polis turut merampas beg tangan mangsa bersama wang tunai untuk siasatan lanjut. Semasa tangkapan, jumlah wang dijumpai semula hanya RM9,500 dan suspek mengaku sempat berbelanja sebelum ditahan,” katanya menambah permohonan reman akan dibuat terhadap suspek untuk tindakan selanjutnya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan, suspek dilihat mundar-mandir di kaunter sebelum mengambil beg tangan diletakkan di sebalik kaunter lalu memasukkan ke dalam bajunya dan melarikan diri. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here