Dua beranak ditahan kes tipu pakej perkahwinan

0
491

POLIS menahan dua beranak kerana disyaki mendalangi kegiatan penipuan urusan tempahan pakej perkahwinan, semalam.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 57 dan 25 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dalam serbuan terhadap sebuah rumah di ibu kota.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata tangkapan itu hasil aduan diterima daripada seorang kerani wanita berusia 24 tahun yang menjadi mangsa penipuan dua beranak itu, pada Khamis lalu.

“Sekitar Mei tahun lalu, mangsa mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan untuk majlis perkahwinannya daripada sebuah syarikat dan berminat dengan tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pengantin pasangan serta jurugambar. 

“Mangsa kemudian membuat pembayaran deposit berjumlah RM7,265 namun syarikat itu gagal memberikan perkhidmatan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, susulan tangkapan itu, polis turut merampas telefon bimbit dan beberapa dokumen dari sebuah pejabat milik dua beranak itu.

Katanya, semakan mendapati syarikat dikendalikan dua beranak itu mempunyai pendaftaran yang sah tetapi sudah menutup operasi awal tahun ini.

“Hasil siasatan, kita syak ramai lagi menjadi mangsa penipuan dua beranak ini. Justeru kita masih mengesan mangsa lain dan meminta mereka untuk tampil membuat laporan polis.

“Kedua-dua suspek kini direman empat hari bermula semalam hingga 8 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tiada kemampuan memenuhi permintaan pelanggan.

“Ini termasuk sewenang-wenangnya menggunakan alasan pandemik COVID-19 kepada pelanggan selepas gagal menunaikan janji mereka,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here