Evolusi nasyid Mestica, pilih Hattan rakam lagu

0
712

PERJALANAN yang dilalui oleh industri nasyid tahan air sebenarnya satu perkara yang menarik untuk dilihat. Pernah menguasai industri sebelum ini, lagu nasyid bagaimanapun ada pasang surutnya.

Namun, untuk mengatakan nasyid semakin kurang diminati mungkin tidak tepat sebaliknya mereka berevolusi seiring dengan peredaran zaman.

Begitu juga dengan kumpulan Mestica yang baru sahaja muncul dengan lagu Istikharah. Mereka berduet dengan Datuk Hattan sebagai satu cara untuk memberikan kelainan kepada karya terbaru itu.

“Memang kami meletakkan harapan yang tinggi menerusi Istikharah memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama dengan Hattan.

“Dia seorang penyanyi legenda dan tidak pernah terlibat dalam industri nasyid. Apabila dia sudi merakamkan lagu ini, kami sambut dengan gembira.

“Lagu ini pula memang hasil ciptaan kami sendiri, sudah tentu ia melakar sejarah tersendiri kepada Mestica sepanjang penubuhan kumpulan ini,” kata Razin mewakili rakan-rakan yang lain.

Selain Razin, Mestica juga dianggotai oleh Khairul dan Khalil dan kumpulan ini ditubuhkan pada 2003. 

Sepanjang penubuhan, mereka sudah menghasilkan banyak album dan yang terakhir adalah Projek Palestin- Satu Misi Kemenangan pada 2013 yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Bercerita mengenai lagu yang sudah dilancarkan secara rasmi pada 28 Januari lalu, lirik lagu ini ditulis oleh isteri Razin, Mass Mohamad.

“Kita selalu mendengar tentang istikarah tetapi tidak semua faham apakah makna sebenar. Apabila dijadikan sebuah lagu dan isi cerita berdasarkan tentang makna sebenar, ia lebih mudah difahami.

“Ia sinonim dalam masyarakat kita bila nak mencari atau bertemu jodoh sama ada pilihannya betul atau tidak. 

“Alhamdulillah, isi dan lagu ini saya kira sangat dekat dengan hati orang dan semua akan melalui proses ini sama ada dalam jodoh, kerjaya atau apa jua situasi,” kata Razin lagi.

Bagi Hattan pula, dia gembira dapat bekerjasama dengan Mestica dan menghormati perjuangan seni mereka.

Jelasnya sebagai penyanyi berpengalaman, dia teruja menjadi pilihan mereka dan mahu lagu ini memberikan sesuatu kepada masyarakat.

“Saya berharap lagu ini mendapat sambutan dan memberikan mesej positif kepada semua. Kalau dikaji liriknya, kita akan jumpa makna sebenar istikarah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here