Pelukis tatu bahagia hidup sebumbung dengan 8 isteri

0
595

MEMANG hebat.

Seorang pelukis tatu di Thailand mengagumkan ramai netizen selepas kisahnya hidup sebumbung dengan lapan isteri yang masih muda tular dalam media sosial.

Memetik laporan Oddity Central, lelaki bernama Ong Dam Sorot itu menjadi terkenal selepas dia menceritakan kisahnya dalam satu rancangan televisyen.

Rakaman video temu bual tersebut telah ditonton lebih tiga juta kali di YouTube.

Ong memberitahu dalam temu bual tersebut bahawa semua isterinya mempunyai hubungan yang baik dan mereka menikmati kehidupan berkeluarga yang harmoni.

Bagaimana dia bertemu lapan isterinya? Ong berkata, dia bertemu isteri pertamanya, Nong Sprite di majlis perkahwinan seorang rakan.

Ong bertanya sama ada wanita itu menyukainya dan bertanya jika dia ingin berkahwin dengannya.

Pertemuan dengan isteri kedua, Nong L pula adalah kisah cinta pandang pertama.

Ong bertemu wanita itu di sebuah pasar dan Nong L bersetuju untuk berkahwin walaupun mengetahui pelukis tatu itu sudah beristeri.

Dia bertemu dengan isteri ketiga di sebuah hospital manakala Ong berkenalan dengan isteri keempat, kelima dan keenam masing-masing melalui Instagram, Facebook dan TikTok.

Tidak cukup dengan enam isteri, pelukis tatu tersebut bertemu dengan seorang lagi wanita bernama Nong Film ketika isteri ketujuhnya itu mengunjungi sebuah kuil bersama ibunya.

Nong Film tidak mampu berkata ‘tidak’ ketika Ong melamarnya.

Jodoh lelaki bertuah itu dengan isteri kelapan, Nong Mai, bertaut ketika dia bercuti bersama empat isterinya di Pattaya.

Rahsia kebahagiaan dalam perkahwinan Ong bersama lapan isteri terletak pada sifatnya yang sangat penyayang dan bertimbang rasa.

Kesemua isterinya mengakui bahawa Ong melayan mereka dengan baik dan tiada masalah yang boleh mencetuskan pergaduhan sesama mereka.

Pelukis tatu itu turut memberitahu, terdapat empat bilik tidur disediakan untuk isteri-isterinya dan mereka tidur bersamanya mengikut giliran.

Setakat ini, dia mempunyai seorang anak daripada isteri pertama manakala dua lagi isterinya sedang sarat mengandung.

Ong menafikan lapan wanita itu berkahwin dengannya kerana wang.

“Setiap ahli keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing. Isteri-isteri saya mencari pendapatan dengan bekerja atau menjual pelbagai produk seperti makanan, kosmetik dan kraftangan,” jelasnya. – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here