PRN Johor: PH bertanding di semua 56 kerusi

0
468

PAKATAN Harapan (PH) akan  bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini, berkata gabungan itu terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP turut bersetuju untuk berunding dengan parti MUDA dalam pembahagian kerusi.

“Majlis Presiden hari ini mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

 “Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihan raya negeri Johor yang akan datang,” kata kenyataan itu.

Majlis Presiden yang dianggotai Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO) berkata, PH juga memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang masing-masing diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasir (PKR), Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng (DAP) dan Aminolhuda Hassan, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah (Amanah).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor akan diumum selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Febuari ini.

Sementara itu portal Free Malaysia Today melaporkan, PH Johor belum mengadakan sebarang perbincangan untuk mencadangkan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar mewakili gabungan itu.

Perkara itu ditegaskan Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang juga Ketua Amanah Johor.

“Tidak ada perbincangan (Maszlee calon MB),” katanya kepada FMT.

Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse memaklumkan bahawa ramai tokoh daripada PH layak untuk diangkat sebagai calon MB selain Maszlee.

Beliau bagaimanapun memaklumkan Majlis Presiden PH akan bermesyuarat bagi membincangkan calon Menteri Besar dalam masa terdekat.

“Di Johor kita ada beberapa tokoh yang pada pandangan saya layak dicalonkan sebagai calon MB dan Maszlee juga merupakan seorang yang patut dalam pertimbangan.

“Saya rasa Majlis Presiden PH akan teliti dan bincang perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, ADUN Kota Anggerik daripada PKR mencadangkan Maszlee yang baharu menyertai parti itu dinamakan sebagai calon Menteri Besar PH.

Najwan Halimi berkata, ia selari dengan strategi PH pada PRN Melaka November lalu ketika menamakan Naib Presiden Amanah Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri gabungan itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here