[VIDEO] Lima penarik kereta ditahan, bergaduh rebut pelanggan di lokasi kemalangan

0
271

POLIS menahan lima daripada kira-kira 20 orang penarik kereta yang terlibat dalam pergaduhan di lokasi kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, Pulau Pinang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 26 hingga 50 tahun itu ditahan di sekitar bandar berkenaan selepas pergaduhan berlaku.

Katanya, pergaduhan berlaku selepas satu kemalangan melibatkan sebuah lori yang membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain di lebuhraya itu dari arah Bayan Lepas menghala ke pusat bandar sekitar jam 2 petang.

“Ia dikatakan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan itu tetapi gagal sebelum mendapatkan bantuan anggota polis cawangan kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, kesemua individu terbabit melarikan diri apabila anggota MPV dan URB tiba di lokasi kejadian.


Menurut beliau, pihaknya telah merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu termasuk topi keledar dan pengunci motosikal (motorcycle fork lock).

Katanya lagi, pergaduhan itu juga telah dirakam oleh orang awam dan mula tular di media sosial sejak petang Rabu.

“Kita masih mengesan suspek lain (penarik kereta) yang terlibat dalam pergaduhan pada petang Rabu selepas satu kejadian kemalangan berlaku di lebuhraya berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata. Permohonan reman terhadap semua suspek yang ditangkap akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Majistret Georgetown,” ujarnya. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here