PRN Johor: Pintu kerjasama Pas-UMNO masih terbuka

0
321

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KERJASAMA antara Pas dan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih lagi terbuka sehingga kini.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, walaupun Pengerusi Barisan Johor (BN), Datuk Hasni Mohammad menyatakan hasrat untuk bertanding solo, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Hasni selaku pimpinan tertinggi UMNO negeri boleh membuat kenyataan itu, tetapi keputusan muktamad hanya boleh diputuskan pimpinan tertinggi Pas dan juga UMNO.

“Ini kerana BN dan UMNO Johor juga terikat dengan keputusan peringkat Pusat sama seperti Pas Johor, jadi soal kerjasama dalam PRN akan datang kita serahkan kepada Pusat tentukan.

“Tetapi apa yang saya tahu, ketika ini masih ada ruang untuk kami menjalin kerjasama dalam PRN sekali gus menubuhkan kerajaan negeri yang diyakini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri Johor.

“Pada masa sama Pas Johor menghormati Hasni yang berhasrat mahukan BN Johor yang mahu secara solo dalam PRN Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Hasni memaklumkan BN Johor berhasrat bertanding secara solo dalam PRN kerana yakin mampu memperoleh majoriti dua pertiga.

DUN Johor dibubarkan kelmarin selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Hari ini SPR memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini
yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi akan membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan urusan PRN tersebut.

Tarikh penting itu melibatkan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, sepatutnya Muafakat Nasional (MN) negeri melibatkan Pas dan UMNO Johor sepatutnya berlangsung pada Isnin tetapi ditangguhkan ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan.

Pihaknya berharap tarikh baharu bagi pertemuan kedua-dua parti berkenaan akan ditetapkan dalam waktu terdekat dan bukan terus dilupakan.

Sementara itu, beliau memberitahu, lebih 15,000 jentera Pas dari seluruh negara akan digerakkan dalam PRN Johor melibatkan 13,000 jentera Pas Johor manakala 1,500 jentera lagi jentera tambahan Pas Pusat dan dari negeri lain.

“Setiap kawasan akan melibatkan 500 jentera. Jentera ini akan melibatkan semua peringkat daripada pemimpin atasan sehingga ke peringkat akar umbi yang datang membantu untuk berkempen,” katanya.

Abdullah berkata, jumlah jentera yang bertugas itu adalah lebih besar berbanding jumlah jentera Pas semasa PRN Melaka tahun lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here