‘Rehatkan’ Zahid Hamidi, jadikan PRU-14 sebagai pengajaran- Syed Ali

0
344

SETELAH Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pada Isnin, Presiden UMNO itu sepatutnya direhatkan daripada memacu pucuk pimpinan parti berkenaan.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, perkara itu berikutan kebimbangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berdepan dengan kesukaran untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, kekosongan yang ada sewajarnya dipangku oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehinggalah pemilihan pucuk pimpinan parti diadakan.

“Keputusan PRU14 sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada UMNO bahawa pemimpin yang berdepan dengan kes mahkamah dan bergelumang dengan isu penyalahgunaan kuasa akan menjadi beban kepada parti dan dicemuh serta ditolak pengundi.

“Saya juga berpendapat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mencerminkan kekuatan sebenar mana-mana parti kerana pengundi pada PRU memiliki tanggapan dan keyakinan yang berbeza,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya pada Isnin.

Terdahulu, Ahmad Zahid akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan beliau membela diri terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah hak mutlak hakim, namun pasukan guamannya akan melakukan proses seterusnya selepas ini.

Sementara itu, Syed Ali juga berpendapat, Ismail Sabri perlu dipilih sebagai Presiden UMNO dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden bagi menjamin ‘survival’ parti untuk menghadapi PRU15.

“Walaupun ada pihak berpendapat kes Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada UMNO, tetapi saya tetap percaya bahawa kes berkenaan akan menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terbanyak terhadap UMNO dan mampu mempengaruhi keputusan PRU15.

“Tambahan, ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi masih tertanya-tanya apakah keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2009 yang memutuskan mana-mana pemimpin parti itu terbabit kes mahkamah secara automatik akan digantung semua jawatan dalam parti, masih diguna pakai atau sebaliknya.

“Presiden UMNO pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO pada 30 Mei 2009 juga berkata: ‘Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan’,” ujarnya.

Berdasarkan kepada keputusan MT UMNO pada tahun 2009, Syed Ali juga tidak menolak kemungkinan banyak pemimpin UMNO termasuk Ketua Bahagian yang terlibat dengan kes mahkamah dan dikenakan tindakan disiplin tetapi masih lagi memegang jawatan dalam parti.

“Dalam hal ini, Setiausaha Agung UMNO perlu mengeluarkan kenyataan terbuka menjelaskan kepada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi sama ada ketetapan itu telah dibatalkan atau masih lagi berkuatkuasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Perlembagaan parti.

“Jika secara rasmi ia telah dibatalkan, bermakna tindakan disiplin yang telah diambil ke atas pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini secara automatik turut terbatal dan tidak sah,” katanya.

Selain itu, Syed Ali turut mempersoalkan sekiranya keputusan MT UMNO 2009 masih lagi kekal sehingga ke hari ini, bagaimana pula dengan kedudukan pemimpin-pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan dalam parti tetapi sedang disabitkan dengan kes mahkamah termasuk mereka yang dalam proses perbicaraan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here