Enam lelaki Rohingya pukul suspek samun diburu polis

0
376

SERAMAI enam lelaki berketurunan Rohingya kini diburu polis selepas memukul seorang lelaki yang juga suspek kes samun dalam kejadian Kampung Pauh Badang, Kota Bharu, Selasa lalu.

Pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada Jumaat lalu mendakwa anaknya berusia 30 tahun dipukul sekumpulan lelaki sebelum ditahan polis.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, ibu mangsa menyedari kejadian apabila melawat anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas direman selama tujuh hari bermula 19 sehingga 25 Januari ini untuk membantu siasatan.

“Berdasarkan laporan, mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki Rohingya di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan kemudian mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Shafien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang menjejaki kumpulan lelaki Rohingya berkenaan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menyerahkan suspek jenayah yang ditangkap kepada polis tanpa melakukan sebarang tindakan yang mendahului pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here