Ops Tapis: Polis tahan 220 lelaki di Johor Bahru

0
395

POLIS menahan 220 lelaki termasuk tiga warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah menerusi Ops Tapis di sekitar Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru, Johor pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 45 tahun, ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bermula pukul 3 pagi tadi.

Beliau berkata lokasi diserbu kerana ia merupakan satu daripada 12 kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ bagi lokasi penjualan dan pengedaran dadah dalam kalangan penagih dadah sejak sekian lama.

“Kesemua mereka yang ditahan hari ini melakukan pelbagai kesalahan membabitkan dadah dan mereka kebanyakannya bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh, pekerja pasar borong serta penjual ikan dan sayur,” katanya pada sidang media di lokasi Op Tapis berkenaan hari ini.

Katanya kesemua yang ditahan akan di siasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952, selain akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mendapatkan rawatan pemulihan.

Sementara itu mengulas mengenai siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita anggota sebuah parti politik, beliau berkata 11 individu dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Macam saya cakap sebelum ini, siasatan dijangka siap hujung minggu ini dan kita telah berbincang dengan bahagian perundingan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkemaskan lagi siasatan,” katanya.

Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi mengenai gangguan seksual melibatkan ADUN berkenaan.

 Bagaimanapun ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here