Ujian sendiri air kencing Terence tidak boleh digunakan dalam kes beliau

0
309

UJIAN air kencing yang dibuat sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, 54, di klinik swasta tidak boleh digunakan dalam kes polis melibatkan wakil rakyat DAP berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, meskipun ADUN berkenaan berhak membuat ujian sendiri, namun pihak polis masih menunggu laporan patologi sampel air kencingnya untuk disahkan sama ada positif atau negatif dadah.

Tambah beliau, pihaknya juga masih menunggu laporan patologi 35 lagi individu termasuk dua anggota polis yang turut positif ketika ditahan dalam serbuan pukul 9 malam tersebut.

Jelasnya, keputusan patologi itu dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga tiga bulan dan polis kini juga sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

“Jika ADUN berkenaan telah membuat ujian kedua air kencingnya di sebuah klinik swasta dan ia negatif, itu adalah haknya.

“Biarpun ujian kedua air kencing yang dibuat itu negatif, namun pihaknya tidak boleh mengunakan keputusan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mustafa Kamal Gani mengulas kenyataan peguam Terence, Ramkarpal Singh semalam yang dilaporkan berkata, selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada 14 Januari lalu, Terence telah melakukan ujian saringan dadah dalam air kencingnya di sebuah klinik di Pulau Pinang keesokannya.

Beliau berkata, menurut Terence sampel air kencing diambil di klinik berkenaan dianalisa di makmal Pathlab dan keputusan menunjukkan tiada sebarang jenis dadah dikesan dalam air kencingnya.

“Justeru, YB Terence telah pun membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi melaporkan keputusan negatif ujian Pathlab tersebut dan memohon agar siasatan lanjutan dibuat,” katanya.

Katanya, susulan perkembangan baharu itu, pihaknya menggesa polis bertindak segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here