Pembangkang juga tolak PRN Johor

0
244

SEMAKIN ramai pihak menyuarakan penolakan terhadap penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terkini, ia turut disuarakan oleh pihak pembangkang.

Blok berkenaan memberikan alasan bahawa PRN tidak membawa kepentingan kepada rakyat merupakan satu pembaziran untuk diadakan pada ketika ini.

Mereka dalam masa sama menawarkan ‘Komitmen Kestabilan’ bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi.

Dalam kenyataan bersama penolakan tersebut yang dikeluarkan pada Rabu, Parti Amanah Negara (Amanah), PKR, DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sepakat mengatakan pelaksanaan PRN di negeri itu adalah satu tindakan yang tidak munasabah dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat serta negeri.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang Johor yang juga Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor PKR, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Menurut kenyataan itu, anggaran kos sebanyak RM150 juta yang diperlukan untuk membiayai PRN Johor merupakan satu pembaziran yang sangat besar daripada kerajaan.

“Blok pembangkang Johor telah memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap kerajaan pimpinan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar) meskipun dengan perbezaan majoriti hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“(Justeru), blok pembangkang telah bersepakat untuk bersama-sama menawarkan Komitmen Kestabilan,” menurut kenyataan bersama itu.

Semalam, Hasni dilaporkan sebagai berkata meskipun belum ada perbincangan mengenai mengadakan PRN Johor di peringkat UMNO Johor, pihaknya tidak pernah menolak keperluan untuk mengadakan PRN disebabkan faktor kestabilan kerajaan negeri yang kini mempunyai majoriti tipis.

Selepas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas Datuk Osman Sapian pada 21 Dis lepas, kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional kini mempunyai 28 kerusi manakala Pakatan Harapan 27 kerusi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here