[VIDEO] Banjir: Selepas sebulan, masih ada kereta tersadai di Taman Sri Nanding

0
1424

BENCANA banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Selangor pada Disember tahun lalu memberikan tamparan hebat khususnya kepada mangsa yang terjejas.

Bukan sahaja sesetengah mangsa kehilangan insan tersayang, malah kebanyakan mereka turut menanggung kerugian besar apabila harta benda seperti rumah, perabot, kenderaan dan sebagainya rosak teruk dan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Tinjauan SatuBerita di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor yang teruk terjejas ekoran bencana berkenaan mendapati masih ada penduduk sedang membersihkan harta benda yang disaluti lumpur biarpun air banjir surut sejak sebulan lalu.

Malah, masih terdapat kereta-kereta yang disaluti debu lumpur kering dibiarkan tersadai di tepi-tepi jalan dan lorong kawasan perumahan berkenaan.

Salah satu yang ditemui di hadapan deretan kedai, sebuah kereta jenis Hyundai Getz berada dalam keadaan cermin belakangnya pecah berkemungkinan ekoran arus air yang deras.

Keadaan kereta jenis Hyundai Getz yang pecah cermin belakang dibiarkan tersadai di hadapan deretan kedai Taman Sri Nanding, sejak sebulan lalu. Foto-SB

Salah seorang penduduk, Bustami Yahya, 30, berkata, kereta-kereta berkenaan telah tersadai dan dibiarkan sejak dari hari pertama air banjir surut dan memaklumkan pemilik kepada kenderaan itu masih belum dikenal pasti.

“Semenjak dari banjir surut lagi kereta-kereta ini tersadai. Ada yang sudah ‘towing’ ada yang belum. Mungkin pemilik belum sempat lagi nak fikirkan kereta mereka. Rumah pun tak siap kemas lagi.

“Banyak kereta yang terkandas sebenarnya, sebab orang tak jangka air tinggi. Tapi banyak yang dah ditarik ke tempat lain,” katanya kepada SatuBerita.

Sementara itu, pembantu bengkel kereta di Taman Sri Nanding, Mohd Firdaus Abd Rahman, 24, berkata, pemilik-pemilik kereta yang tersadai itu berkemungkinan tidak tahu di mana keberadaan kereta mereka setelah dihanyutkan oleh air banjir.

“Banyak kereta yang tersadai itu, mungkin kereta yang hanyut ketika banjir besar haritu. Bila kereta hanyut, pemilik pun tak tahu kereta mereka di mana. Mungkin juga kerana kos nak baiki juga tinggi.

“Mereka nak kemas rumah pun ambil masa yang lama. Masing-masing pun sibuk mengemas rumah, ada yang ambil masa sampai lebih seminggu. Mungkin mereka letak tepi dulu hal kereta atas beberapa faktor,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Firdaus memaklumkan bahawa bengkel tempatnya bekerja itu masih menerima kereta yang rosak akibat ditenggelami air untuk dibaiki, namun ada juga yang terpaksa ditolak kerana samada keadaan yang terlampau teruk atau rumit untuk dibaiki.

“Kereta-kereta yang bos rasa rumit untuk dibaiki, bos terpaksa tolak. Tapi kalau yang kami dah biasa buat seperti Perodua atau Proton, kami akan terima untuk baiki.

“Buat masa sekarang, dalam enam buah kenderaan yang rosak akibat banjir kami sedang baiki. Itu pun ada yang nak hantar lagi, tapi kami terpaksa tolak dulu kerana perlu selesaikan kereta yang ada terlebih dahulu,” katanya.—SB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here