2 lelaki dengan 46 rekod lampau ditahan lagi

0
224

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIDAK serik-serik. Mungkin itu perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan dua lelaki yang mempunyai 46 rekod dadah dan jenayah ditahan di dua lokasi di Bandaraya Johor Bahru malam tadi.

Dua lelaki tempatan berusia 22 dan 44 tahun ditahan bersama-sama sebuah kereta curi serta sejumlah dadah dalam satu operasi khas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Superitendan R Azizan Ibrahim berkata, operasi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 7 malam.

“Polis merampas 57.65 gram (g) syabu bernilai RM5,765 selain 8.65g ganja bernilai RM432 dan 12 biji pil ekstasi bernilai RM180.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah bagi operasi ini RM6,377. Polis turut melakukan sitaan sebuah kereta Proton Saga bernilai RM10,000. Kenderaan ini dilaporkan hilang di Melaka pada tahun 2021.

“Keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM16,377,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, modus operandi mereka ialah dengan menyewa rumah berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat menyimpan dadah dan kegiatan tersebut dilakukan sejak awal tahun lalu.

Menurut beliau, dadah tersebut boleh digunakan seramai 308 penagih.

“Seorang suspek mempunyai 42 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai empat rekod dadah,” katanya.

Tambah beliau, seorang daripadanya merupakan orang yang dikehendaki bersabit kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Semua suspek katanya, direman tujuh hari bermula Jumaat sehingga 20 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952, jika sabit kesalahan dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

Sementara itu, beliau memberitahu, JSJN Johor menangkap 638 individu atas pelbagai kesalahan dadah dari awal bulan ini sehingga Khamis.

Tambahnya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 93.17 kilogram dadah dirampas bernilai RM375,527 dirampas selain turut disita harta bernilai RM460,180.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here