Maritim rampas 5 laras senapang angin cuba diseludup

0
414

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CUBAAN satu sindiket untuk menyeludup masuk lima laras senapang angin disyaki dari Indonesia berjaya dipatahkan di perairan Pulau Sialu, Batu Pahat, semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat mendapat maklumat itu sebelum melakukan risikan dan intipan sekitar jam 7.20 malam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, aset Maritim Malaysia kemudian melaksanakan pemantauan sekitar lokasi berkenaan.

“Tiada sebarang pergerakan bot atau suspek mencurigakan di sekitar lokasi penemuan, namun sewaktu pasukan operasi melakukan pemeriksaan sekitar kawasan Beacon Panjang Utara telah menjumpai satu karung guni putih dan satu beg hitam.

“Ia berisi senjata api jenis senapang angin beserta sebuah kotak besi berisi peluru jenis bearing di kedudukan lebih kurang 13.5 batu nautika barat daya Pulau Sialu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maritim menemukan senjata api dan barang-barang itu diletakkan dalam kawasan Beacon Panjang Utara, di Pulau Sialu, Batu Pahat, semalam, selepas melakukan pemeriksaan.

Katanya, keseluruhan barang itu dianggarkan bernilai RM10,000 dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia katanya, akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here