Protes antikerajaan di Kazakhstan gara-gara kenaikan harga minyak, disusuli isu politik

0
372

KRISIS yang telah terjadi di Kazakhstan sejak beberapa hari ini telah menyebabkan banyak kerosakan dengan beribu penunjuk perasaan turun ke jalan raya untuk menyuarakan kemarahan.

Kemarahan rakyat Kazakhstan dikatakan memuncak apabila kerajaan bertindak menaikkan harga bahan api yang disusuli dengan isu politik.

Bagaimanapun, Presiden Kassym-Jomart Tokayev mendakwa, protes tersebut didalangi kumpulan pengganas yang telah dilatih pihak asing.

Selain itu, Pemerhati dan Pakar Politik, Kate Mallinson menegaskan, protes itu turut mendedahkan kemarahan lampau rakyat terhadap pentadbiran.

Ia susulan kegagalan pentadbiran memodenkan negara berkenaan dan memperkenalkan reformasi yang memberi kesan kepada rakyat di pelbagai peringkat.

Menerusi beberapa video yang disiarkan di Twitter sejak Rabu, dapat dilihat orang ramai mula menyerbu bangunan utama kerajaan di Almaty, bandar terbesar manakala sebahagian penunjuk perasaan pula bertindak membakar kenderaan polis, serta cawangan wilayah parti Nur Otan yang bertanggungjawab memerintah negara terbabit.

Sementara itu, jumlah korban membabitkan pegawai keselamatan Kazakhstan meningkat kepada 18 dan 2,298 yang lain ditahan, lapor agensi berita Interfax dan RIA Novosti Russia pada Khamis.

Mengulas lanjut, penunjuk perasaan bukan sahaja menuntut agar harga bahan api yang lebih rendah, tetapi mereka juga mahu hak mereka sebagai rakyat diluaskan.

Antaranya adalah mengubah sistem pemilihan secara langsung pemimpin wilayah Kazakhstan dan bukannya sistem pelantikan yang sedia ada.

Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev juga telah menerima peletakan jawatan kesemua ahli kabinet dan mengisytiharkan darurat di Almaty dan wilayah pengeluar minyak Mangistau.

Selain darurat, Kazakhstan turut cuba menenangkan keadaan dengan menyekat laman rangkaian sosial dan aplikasi, termasuk Facebook, WhatsApp, dan Telegram namun ianya sudah terlambat untuk menenangkan rasa tidak puas hati rakyat Kazakhstan dan dijangka pilihan raya baharu akan berlaku dalam masa terdekat. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here