Dituduh merosakkan industri, Michael Ang tak peduli

0
700

Ada yang suka tapi ramai juga yang mengecam lagu Cinta Atau Propa yang baru sahaja dilancarkan oleh Michael Ang pada 5 Januari yang lalu.

Ada yang menganggap percubaan Michael menyanyi bukan sekadar merosakkan industri hiburan tetapi juga menambahkan lagi senarai ‘kegilaan’ segelintir pihak yang masuk ke dalam industri sekadar untuk suka-suka.

Menganggap apa sahaja kata jelik yang diberikan oleh netizen tidak menjejaskan emosinya, dia menegaskan hanya mahu mencuba bidang baharu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya hanya nak cuba merakamkan lagu. Semua benda dalam bidang seni dah dibuat. Mengarah, berlakon, jadi juri dan menjadi pengacara pun sudah dilakukan.

“Menyanyi sahaja belum. Kalau diikutkan lepas ni saya nak jadi penulis lirik dan komposer pula. Tak salah nak cuba apa sahaja bidang asalkan kita buat betul-betul,” katanya.

Dalam pada itu, Michael mengakui yang dia ada membaca komen negatif yang dihamburkan kepadanya.

Ada yang menganggap dia tidak boleh menyanyi, perosak industri dan sekadar menambahkan golongan ‘gila glamor’ yang mahu mencuri perhatian peminat semata-mata.

Baginya, dia tidak kisah dengan kritikan mereka jika sudah mendengar lagu Cinta Atau Propa, tetapi jangan diserang hal peribadi kerana itu merupakan hal yang berbeza.

“Saya tak kisah kalau netizen nak serang lagu tersebut atau video muzik. Nak kata suara saya sumbang pun tak apa sebab itu melibatkan pekerjaan.

“Memang saya tone deaf (pekak nada) pun. Kalau nak tahu memang sukar sebenarnya untuk merakamkan lagu ini pada peringkat awal.

“Cuma saya beruntung kerana banyak dibantu semasa proses rakaman. Walaupun mereka pening kepala nak melayan, itu pengalaman baharu buat saya,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, pengarah ini berterima kasih kepada Killa Driz selaku komposer dan Hafiz Hamidun yang bertindak selalu penerbit lagu ini.

Meskipun ini merupakan kerjasama pertama di antara mereka, Michael menganggap kedua-duanya cukup sabar dan profesional semasa sesi rakaman berlangsung.

“Saya hampir membatalkan niat nak menyanyi pada peringkat awal. Tapi mereka pujuk cuba dahulu dan merasai sendiri pengalaman tersebut.

“Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan dan lagu ini sedap. Kalau saya tak puji siapa lagi?” katanya tertawa.

Dalam pada itu, Michael turut memberi amaran kepada beberapa pihak yang terasa lagu tersebut ditujukan kepada mereka.

Terdahulu pengasas kosmetik, Datuk Seri Vida ada bertanyakan kepadanya, adalah lagu itu ditujukan kepada dirinya sementelah dia pernah dikaitkan bercinta dengan Iqbal Zulkefli sebelum ini.

“Tak payah nak feeling mengaku lagu ini ditujukan kepada sesiapa. Kalau sesiapa sahaja terasa, sesuailah. Tapi jangan perasan saya nyanyi untuk sesiapa, ‘lambat’ lagi nak menyanyi sebab mereka!” katanya.

Untuk rekod, lagu Cinta Atau Propa sudah dilancarkan sejak 5 Januari yang lalu dan muzik video boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here