Isu i-Citra: Bersatu Johor selar Pemuda UMNO

0
453

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyelar Pemuda UMNO yang dilihat sengaja mempolitikkan isu pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, tujuan mereka untuk menggugat kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu daripada parti sendiri.

Namun apa yang dikesalkan katanya, individu sama memutar belit kenyataan dengan menuduh Bersatu pula yang sengaja melakukan sabotaj dalam isu tersebut.

“Dengan satu jari Pemuda UMNO menuding ke arah Bersatu, ada empat lagi jari yang menuding ke arah diri mereka sendiri.

“Bersatu amat kesal dengan tuduhan Pemuda UMNO dan ia berniat jahat bukan sahaja terhadap Bersatu malah Kabinet Malaysia yang diketuai Perdana Menteri dari UMNO sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pemuda UMNO yang mengatakan Perdana Menteri menolak pengeluaran i-Citra kerana mengikut telunjuk Bersatu.

Mengulas lanjut, Mohd. Solihan menyifatkan tindakan Pemuda UMNO itu berniat jahat dan bertujuan untuk memburukkan imej Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Ismail Sabri.

“Tan Sri Muhyiddin telah melakukan pelbagai tindakan, usaha dan pelan bagi memulihkan kehidupan rakyat, menggerakkan komuniti perniagaan dan ekonomi.

“Beliau juga telah melakukan tindakan tepat bagi membendung pandemik Covid-19 yang telah meruntuhkan sistem keselamatan kesihatan dan hampir melumpuhkan kehidupan global, sejak dua tahun lalu.

“Saya kesal dengan Pemuda UMNO yang terus mempolitikkan isu pengeluaran RM10,000 daripada caruman KWSP. Bersatu bukan kemaruk dan menjadikan semua isu untuk memburukkan pihak lain.

“Tetapi kita lihat sendiri, siapa dalam kelompok pemimpin UMNO yang mempolitikkan isu i-Citra dan lain-lain perkara sehingga menggangu-gugat kerajaan yang mana Perdana Menteri adalah pemimpin daripada UMNO sendiri,” ujarnya.

Mohd. Solihan berkata, dalam Kabinet yang diwakili Menteri UMNO dan Bersatu, sebarang keputusan diambil adalah melalui mesyuarat, jadi tidak seharusnya timbul tuduhan menteri daripada Bersatu yang membuat keputusan berkenaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here