BN ditolak: PN pembaharuan yang lebih besar – Hadi Awang

0
466

PAS pernah bersama UMNO menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak berfungsi secara berasingan dan memerlukan tajdid (pembaharuan) terhadap BN yang telah ditolak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Maka, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Perikatan Nasional (PN) ialah pembaharuan terhadap BN dalam bentuk yang lebih besar.

Sehubungan itu, katanya PAS tidak boleh dikongkong dengan hanya bersama UMNO sahaja.

“Kita telah memulakan langkah dengan menubuhkan kerajaan bersama dalam gagasan PN yang baru berada di peringkat permulaaan.

“Oleh itu, perpaduan yang wujud ini jangan sekali-kali dirungkai di tengah-tengah perjalanan kerana sebab yang tidak berkaitan dengan peranan melangsungkan tugas islah (pembaikan dan pembetulan).

“Antara sebab-sebabnya seperti faktor peribadi atau pembahagian jawatan dalam Kabinet kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah faktor sampingan sehingga menyebabkan PAS banyak berlembut dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, PAS tidak boleh diheret sekali-kali ke dalam lingkungan perkauman yang sempit.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, PAS wajib memecahkan tembok yang cuba mempertahankan elemen perkauman dan PN merupakan pemecahnya.

“Dalam sifir politik bagi melakukan satu perubahan, perkara itu tidak akan dapat dicapai jika hanya melalui platform Muafakat Nasional (MN) sahaja yang melibatkan PAS dan UMNO semata-mata.

“Sehinggakan, dipersetujui bersama supaya satu perubahan atau reformasi politik dilakukan akibat daripada keputusan PRU-14 yang meletakkan dominasi bukan Islam dan Muslim yang tidak Islamik,” jelasnya.

Abdul Hadi berkata, turut dipersetujui bersama untuk mengumpulkan seluruh Ahli Parlimen Muslim secara keseluruhannya yang masih majoriti jumlahnya dan setelah itu, disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Hasilnya dimulakan dengan diadakan Himpunan Penyatuan Ummah melibatkan UMNO dan PAS yang dianjurkan secara bersama oleh dua buah parti pembangkang terbesar itu.

“Kemudian, diikuti pula oleh Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh ilmuwan. PAS pada waktu itu juga menyertainya dan mengajak UMNO bersama, walaupun pada awalnya mereka tidak bersetuju,” ujarnya.

Menurut beliau, hasil daripada kedua-dua himpunan tersebut telah berjaya mengumpulkan sejumlah Ahli Parlimen yang cukup bagi membuat perubahan dengan menyelesaikan beberapa masalah dan krisis politik yang belum selesai.

Kata Abdul Hadi, tunggak perubahan ialah kepimpinan yang didominasi oleh Muslim dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Maka, untuk menjayakan perubahan tersebut mestilah melalui tiga parti Melayu yang besar jumlah Ahli Parlimennya iaitu UMNO, Bersatu dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Gabungan Parti Sarawak atau GPS).

“Jika hanya semata-mata jumlah ahli Parlimen UMNO dan PAS sahaja, sudah pasti tidak mencukupi jumlahnya,” katanya.

Beliau menegaskan, PAS berpegang kepada keputusan untuk melebarkan MN yang tidak terhad kepada PAS dan UMNO sahaja serta seterusnya melangsungkan kerjasama yang telah terjalin dalam masyarakat majmuk sejak merdeka dengan pembaharuan melalui penubuhan PN.

Abdul Hadi berkata, agenda bagi memperkukuhkan PN dalam kerajaan merupakan persetujuan bersama.

“Bahkan, bagi meneruskan kelangsungan perubahan juga mewajibkan semua parti bersama gabungan PN yang mengumpulkan parti-parti yang menerima asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak mana-mana parti yang bertujuan selain daripada itu,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan, PAS berpegang kepada asas yang menjadi pegangannya iaitu prinsip dan konsep politik Islam yang berbeza dengan nasionalisme sekular yang bercanggah dengan Perlembagaan PAS.

Katanya, dalam keadaan PAS tidak tergelincir ataupun meninggalkan konsep Islam Memimpin dan menyelesaikan masalah negara dan pada masa yang sama, tidak meninggalkan bangsa Melayu dan bukan Melayu Islam serta tidak meninggalkan bukan Islam dalam masyarakat majmuk.

“PAS ingin bertanya, mengapa kalangan bukan Islam tidak boleh menerima Islam sebagai penyelesaian masalah dunia, padahal mereka berjuang untuk menegakkan ideologi kanan dan kiri, sehinggakan ideologi paling ekstrem yang diciptakan oleh kalangan bukan daripada kaum atau bangsa malah tidak seagama dengan mereka?

“Mereka mendukung ideologi paling liberal kanannya yang paling ekstrem seperti mengharuskan perbuatan LGBT dan sebagainya yang sedang menunjukkan tanda-tanda merudum.

“Malah, ada juga yang berfahaman sosialis, sehingga ideologi komunis paling kirinya yang telah merudum dalam arena politik kini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here