JABATAN Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengumpul sebanyak 20.873 tan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) atau e-sisa sepanjang tahun lepas.
Pengarah JAS negeri Ramli Abd. Rahman berkata ia adalah hasil pelbagai program yang dilaksanakan pihaknya termasuk bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta komuniti setempat.
“Tahap kesedaran rakyat Terengganu terhadap kaedah sempurna untuk melupuskan e-waste bertambah baik sejak akhir-akhir ini hasil penerangan dan program pendidikan yang dijalankan,” katanya menurut laporan Bernama, hari ini.
Ramli berkata antara barangan yang dihantar pada program pengumpulan e-sisa adalah televisyen, komputer peribadi, mesin basuh, penyaman udara, peti ais, telefon bimbit serta pelbagai barangan elektrik dan elektronik di rumah.
“E-waste yang mengandungi logam-logam berat berpotensi mencemarkan alam sekitar sekiranya dibuang ke tapak pelupusan sampah awam. Jika barangan ini dibakar, ia akan menghasilkan bahan pencemar udara yang berbahaya kepada kesihatan.
“JAS Terengganu akan meneruskan program pengumpulan e-waste ini secara konsisten mengikut jadual yang ditetapkan agar penduduk di semua lapan daerah di Terengganu berpeluang melupuskan e-waste mereka dengan kaedah yang betul,” katanya. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.