Petis udang berulat, logo halal pula tidak sah

0
358

TONG penyimpanan petis udang mengandungi ulat berengga dan berbau busuk serta meloyakan.

Lebih menjijikkan, stok petis udang lama yang berulat itu turut disimpan dalam stor sama dengan produk baharu malah pengusahanya turut menggunakan logo halal tidak sah.

Perkara itu terbongkar ketika operasi sekumpulan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang memproses petis udang yang sudah beroperasi lebih 50 tahun di Pantai Acheh, Balik Pulau hari ini.

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), JKNPP, Mohd. Wazir Khalid, siasatan lanjut pihaknya juga mendapati terdapat produk petis udang yang turut digunakan sebagai kuah rojak itu sudah rosak meskipun tarikh luputnya pada 2024.

Tambah beliau, kilang itu pernah diserbu pihaknya tahun lalu dan pengusahanya diarahkan membersihkan kilang supaya mengikut piawaian namun keadaan hari ini didapati masih seperti sebelum ini.

“Antara alasan yang diberikan pemiliknya adalah mereka tidak sempat membuang produk lama yang telah berulat kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

Stok petis udang lama yang berulat itu turut disimpan dalam stor sama dengan produk baharu malah pengusahanya turut menggunakan logo halal tidak sah

“Ini juga sebenarnya alasan yang sering kita terima dalam mana-mana operasi jadi kita telah mengarahkan mereka membersihkan produk mengikut piawaian kesihatan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, susulan operasi itu pihaknya mengarahkan kilang tersebut ditutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 untuk kerja-kerja pembersihan selain turut mengeluarkan dua notis kompaun berjumlah RM5,000 kepada pemiliknya.

Dalam masa sama tambah beliau, pihaknya juga akan merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi kesalahan menggunakan logo halal secara tidak sah.

Sementara itu dalam satu lagi serbuan di kilang kicap di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas, pihaknya turut mendapati premis itu beroperasi tanpa mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.

Antaranya kata beliau, penemuan bahan asing seperti sarang labah-labah di dalam tong penapaian kacang soya serta najis tikus di lantai yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran silang.

“Kilang ini juga diarahkan tutup selama 14 hari bagi kerja-kerja pembersihan selain turut dikenakan dua kompaun berjumlah RM5,000.

“Pemilik kilang juga diarahkan menjalankan pembersihan serta kawalan serangga perosak menggunakan khidmat syarikat yang bertauliah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here