BERHADAPAN dengan seribu satu kekangan tidak mematahkan semangat sebahagian besar anak seni untuk berkahwin. Meskipun fasa pandemik yang dilalui membataskan banyak perkara, semua itu bukan halangan untuk menyatukan dua jiwa.
Ada perkahwinan yang dihambat dengan kontroversi tak kurang juga yang dipuji-puji. Ada juga yang meninggalkan tanda tanya dan tak terkecuali mematahkan hati insan lain.
Kali ini SatuBerita menyorot beberapa perkahwinan paling panas dan penuh kontroversi yang berlangsung pada tahun ini.
Neelofa, Riz paling panas
Menjadi antara selebirti paling dinanti-nantikan, Neelofa dan Harris memilih tanggal 27 Mac untuk melangsungkan perkahwinan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Cukup indah dengan hiasan bunga segar yang diinspirasikan dari Jabal Rahmah di Mekah, pasangan ini mengundang kontroversi apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan penganjur didenda.
Meskipun mengundang kontroversi, majlis yang berlangsung tetap meriah dengan kehadiran keluarga dan kenalan terdekat serta tetamu VIP.
Nabila, Engku Emran buat kejutan
Meskipun gosip yang bertiup kencang pada awal penuh dengan tanda tanya, namun akhirnya kakak kepada Neelofa, Noor Nabila selamat menjadi isteri kepada Engku Emran pada 19 Mac.
Perkahwinan yang cukup menarik ini mendapat perhatian ramai apabila masing-masing pernah gagal dalam perkahwinan terdahulu.
Nabila merupakan bekas isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad dan Emran pula berstatus bekas suami pelakon Indonesia, Laudya Cinta Bella dan Erra Fazira.
Remy pilih Ezza
Benar kata orang, kalau sudah jodoh tak ke mana. Begitu juga dengan Remy Ishak yang akhirnya memilih Ezza Yusof untuk menjadi suri dalam hidupnya.
Beberapa tahun lalu mereka pernah betunang tapi terputus di tengah jalan. Namun kalau sudsh jodoh pasti bertemu juga.
Berita pernikahan Remy yang tersebar pada ketika itu membuatkan ramai wanita patah hati. Akhirnya mereka disatukan pada 21 Ogos yang lalu.
Zizi disunting Yusof
Berita pernikahan Zizi Kirana dan Yusof Bahrin tidak kurang menggemparkan industri hiburan tanah air. Tidak diketahui bila masa mereka bercinta tetapi akhirnya mengumumkan perkahwinan.
Ada yang menganggap ‘cinta kilat’ mereka merupakan jodoh dan ketentuan Yang Maha Esa.
Mengenakan busana serba hitam, masing-masing kini bahagia melayari alam rumah tangga dan meneruskan karier seperti biasa.
Elizabeth pilih majlis tertutup
Menjadi antara penyanyi paling diminati oleh kebanyakan lelaki, tidak dinafikan ramai yang patah hati apabila gambar perkahwinan Elizabeth Tan dengan Siew Tan tersebar.
Seperti yang diketahui umum, imej seksi Elizabeth sering menjadi tumpuan lelaki yang meninggalkan komen nakal pada setiap hantaran media sosial penyanyi dan pelakon ini.
Pasangan ini memilih tanggal 20 Mac untuk bersatu dan majlis tersebut hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja.
Majlis Haqiem berharga RM7 juta
Memilih untuk mengumumkan pernikahan menerusi sebuah acara hiburan, penyanyi Haqiem mengejutkan peminat apabila memilih gadis berusia 19 tahun sebagai pasangan hidup.
Majlis yang berlangsung di Cyberjaya pada 19 November lalu dikatakan berharga RM7 juta termasuk tajaan barang kemas dan sebagainya.
Dia juga melancarkan sebuah lagu khusus sempena hari perkahwinan yang ditujukan khas buat isterinya itu.
Kahwin selepas sebulan bertunang
Hanya bertunang sebulan terus menikah, itu juga yang dilalui oleh penyanyi Yonnyboii yang memilih Nik Nazira sebagai isterinya.
Namun berita pernikahan tersebut tanya diumumkan beberapa minggu selepas mereka selamat bernikah atas nasihat ibu Yonny yang mahu perkara terebut diuar-uarkan bagi mengelakkan fitnah.
Pasangan ini selamat bernikah pada tarikh 20 November di sebuah premis di Kuala Lumpur.
Kamal, Uqasha bersatu juga
Beberapa kali tertangguh akhirnya Kamal Adli dan Uqasha Senrose selamat disatukan pada 5 November lalu dalam sebuah majlis tertutup.
Terdahulu pasangan ini sudah merancang untuk bernikah tetapi beberapa kali tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu.
Ketika ini sedang mengerjakan umrah selain berbulan madu di Mekah.
Pelamin berinai Uyaina hanyut
Memilih tarikh 21.12.21 untuk bernikah, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad selamat bernikah dengan Raja Syahiran dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Ada kisah menarik yang berlaku apabila pelamin yang sepatutnya menjadi tempat majlis berinai dihanyutkan banjir dan majlis tersebut terpaksa dibatalkan.
Antara pasangan lain yang berkahwin pada tahun ini termasuklah Syamel & Erni; Intan Ladyana & Harris Alif; Putri Aishah & Muhammad Firdaus; Ariff Bahran & Amirah Shazwani dan Caprice & Farra Inalis.
Turut berkahwin Fizo Omar, Risteena Munim dan Isa Khan, Nur Saida Taruddin, Zahid AF2, Datuk Nora Ariffin, Jasmin Hamid, Ayie Floor 88, Zee Avi, Farid Amirul dan Elisya Sandha. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.