Kalau dah tahu rakyat dalam kesulitan, UMNO tak payahlah kalut nak pilihan raya

0
294

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengecam tindakan pihak tertentu menggunakan gambar lamanya semasa membantu mangsa banjir menganggap ia sebagai politik ‘nista’.

Hujah beliau,  ‘’pihak berkenaan tidak sudah-sudah dengan politik “nista” dalam keadaan ramai rakyat berdepan kesulitan akibat bencana. Nampak gaya mereka ini masih tidak serik-serik.”

Alhamdulillah, kalau itu kesedaran yang ada kepada Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut penulis juga berharap beliau dapat menahan keterujaan pemimpin-pemimpin parti itu yang mahu mengadakan pilihan raya atau ‘menghentikan’ sebarang gerakan untuk melakukan ‘penaklukan kecil’ bagi mengukuhkan kedudukan sebelum melaksanakan penaklukan besar’.

Penulis menggunakan istilah ‘penaklukan kecil’ bagi merujuk jika benar wujud gerakan oleh UMNO untuk mengadakan PRN di negeri-negeri yang kini mereka perintah dengan majoriti kecil sebelum mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin atas alasan kestabilan politik.

Sebenarnya, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad memaklumkan, akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan kembalinya ke rahmatullah Datuk Osman Sapian, ura-ura untuk mengadakan PRN di negeri itu sememangnya sudah kedengaran sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Melaka.

Kemenangan di Melaka itu telah mewujudkan ‘keghairahan politik’ luar biasa dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO sehingga mereka dibuai dengan andaian, rakyat sudah kembali menyokong mereka selepas parti itu hilang kuasa di peringkat pusat selepas 61 tahun memerintah kerana skandal 1MDB dalam PRU-14.

Penulis tidak mahu mengulas lanjut mengenai keputusan PRN Melaka, cuma ingin menyatakan kalaulah kemenangan di negeri Hang Tuah itu mahu dijadikan sandaran oleh UMNO dan BN untuk mendesak atau merancang lebih banyak PRN seterusnya mengasak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen, ia boleh dianggap satu kesilapan.

Kalau UMNO dan BN sudah ‘tidak tahan lagi’ silakan sahaja, tetapi jangan menyusahkan rakyat. Jangan hanya bijak berkata rakyat berdepan kesulitan akibat bencana tetapi kemudiannya mahu menyeret rakyat terlibat dalam pergolakan politik.

Fikirlah sikit, rakyat baru sahaja mahu bangkit selepas terpaksa menempuh keperitan berikutan pandemik Covid-19 hampir dua tahun. Jangan lupa ketika Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyusun strategi memerangi wabak itu termasuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), segelintir pemimpin UMNO yang bimbang usaha itu akan berjaya sekaligus akan mengukuhkan kedudukan Muhyiddin melakukan ‘serangan’ politik.

Seramai 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan. Dan sekarang Ismail Sabri menerajui negara dalam keadaan apa yang dirancang oleh Muhyiddin melalui PPN terbukti berjaya.

Berikutan itu rakyat sedang menyusun semula kehidupan mereka selepas pandemik namun takdir Allah SWT menentukan beberapa negeri khususnya di Pahang dan Selangor dilanda banjir besar. Kehidupan rakyat di kawasan-kawasan tertentu di kedua-dua negeri berantakan.

Mereka kehilangan harta benda dan ada antara mereka kehilangan ahli keluarga yang terkorban dalam banjir luar biasa itu.

Tetapi secara tiba-tiba terpancul pula kemungkinan ada PRN di Johor! Penulis tidak menyalahkan Hasni kerana beliau hanya bercakap soal fakta mengenai kedudukan kerusi DUN di Johor.

Betullah agak susah kalau mahu memerintah jika ada kelebihan satu kerusi. Tetapi sejarah politik negara juga sudah membuktikan ia bukanlah mustahil. Memerintah dengan keadaan kerusi cukup tipis ini bukanlah kali pertama berlaku ia pernah terjadi di Kedah, Perak dan Kelantan.

Apa yang penting persefahaman antara parti-parti sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang. Kalau persefahaman bahawa mereka akan sama-sama menjaga kestabilan politik dan tidak mahu PRN atas pertimbangan ‘rakyat berdepan kesulitan akibat bencana’ maka ia tidak akan jadi masalah.

Yang masalahnya bila ada ‘batu api’ dalam UMNO, contohnya apabila seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyifatkan pendirian Pakatan Harapan tidak mahu PRN di Johor sebagai ‘takut kalah’ selepas kecundang di Melaka dan Sarawak.

Penulis tertanya-tanya apa ada dalam fikiran pemimpin yang pernah menjadi menteri Kabinet tersebut. Ini bukan soal takut atau tidak, tetapi situasi negara sekarang tidak mengizinkan sebarang pilihan raya diadakan sama ada di peringkat negeri atau pusat.

Sama ada suka atau tidak, dengan dilanda dua bencana berturut-turut, negara boleh dianggap berada dalam keadaan ‘berantakan’, banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan pusat di bawah teraju Ismail Sabri untuk memulihkan keadaan.Izinkanlah Perdana Menteri menguruskan negara dengan tenang, bukannya diganggu gugat oleh permainan politik oleh parti beliau sendiri.

Pemulihan akan mengambil masa agak lama, jadi apa salahnya kalau pemimpin UMNO dan BN bersabar sekejap biarpun penulis faham keterujaan dan keghairahan mereka selepas kemenangan di Melaka.

Sekarang bukan masa untuk menunjukkan keghairahan politik mahu meraih kuasa atau mahu kembali berkuasa, tetapi sekarang adalah masa untuk memulihkan kehidupan rakyat selepas dua bencana iaitu Covid-19 dan banjir, tak kan ia belum reda UMNO dan BN mahu ‘menjemput’ bencana ketiga – pergolakan politik?

Tidak cukupkah apa yang dilakukan segelintir pemimpin UMNO menyingkirkan Muhyiddin dan meranapkan Kerajaan Perikatan Nasional ketika negara berhadapan dengan ‘peperangan getir’ melawan Covid-19, janganlah nanti orang menganggap UMNO ‘tidak sudah-sudah dengan politik nista.’

UMNO dan BN tidak perlu takut apa-apa jika mereka yakin rakyat sudah kembali menyokong parti itu. Bersabarlah sekejap, tidak lama pun menanti 2023.

Lagipun bukankah UMNO mempunyai lebih 3 juta ahli? Bukan UMNO/BN ada jentera pilihan raya yang sentiasa bersemangat? Bukankah UMNO/BN ada calon-calon hebat yang akan diketengahkan dalam PRU-15? Jadi apa yang nak tergopoh gapah mahu pilihan raya awal?

Sepatutnya tidak kira bila pun pilihan raya, UMNO/BN mesti yakin dengan kekuatan dan kelebihan parti itu sepertimana mereka ‘begitu yakin’ kalau buat pemilihan ia akan memecah belah parti tersebut. Kalaulah pemilihan dibimbangi akan memecah belahkan UMNO/BN maka fahamlah jugak bahawa pilihan raya hanya akan menyusahkan rakyat yang sedang kesulitan akibat bencana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here