[VIDEO] Abang Viva derma balik duit sumbangan

0
1283

KEIKHLASAN dan kesungguhan Azwan Omar, 29, membantu mangsa banjir terserlah lagi apabila menderma kembali duit sumbangan diterima untuk membantu mangsa banjir di Temerloh, Pahang.

Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Abang Viva’, kini berada di Temerloh bagi meneruskan misi solo membantu mangsa banjir, selepas menamatkan misi bantuan di Shah Alam baru-baru ini.

Kisah Azwan mendapat gelaran ‘Abang Viva’ apabila tanpa berfikir panjang membawa bot menggunakan Perodua Viva seorang diri dari Melaka ke Selangor untuk membantu mangsa banjir di Selangor dengan berbekalkan RM50.

Menurutnya, pada masa ini beliau belum bercadang untuk balik ke Melaka kerana misi seterusnya ialah ke Pekan, Pahang yang diramal akan berlaku banjir ekoran hujan lebat.

“Saya cadang bantu mangsa banjir sampai selesai, sebab saya dengar di Pekan, Pahang akan ada air naik, jadi saya tunggu selesai di sana baru saya fikir untuk balik.

“Untuk sekarang saya masih bergerak solo. Buat masa ini bot saya masih ok lagi, tiada apa-apa kerosakan.

“Macam sekarang di Temerloh saya tengah buat bantuan sumbangan rumah ke rumah yang mana yang mampu, dengan sumbangan orang ramai yang salurkan sumbangan kepada saya. Saya guna duit tu, beli barang yang mereka nak dan kita hantar ke sana (lokasi),” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Azwan yang masih meneruskan misi bantuan mangsa banjir secara ‘solo’ berkata, perhatian yang diterimanya sebagai ‘Wira’ atau ‘Unsung Hero’ oleh orang ramai yang menghargai tindakannya membantu mangsa, membuatkan dirinya bercampur perasaan.

“Malu, segan dan takut. Takut kerana kita pegang amanah orang, memang jadi takut kerana amanah yang terlalu besar untuk saya pegang. 

“Takut tak tertunai, takut tak terbawa,” luah Azwan.

Baca berita berkaitan: Nafi kutip derma, ada pihak kaut untung atas nama ‘Abang Viva’

Baca berita berkaitan: Abang Viva viral masih bujang, jaga dua anak saudara

Bagaimanapun menjawab perkara yang tular baru-baru ini mengenai seorang usahawan wanita yang ingin memberi sebuah kenderaan pacuan empat roda 4×4, Azwan berkata dirinya masih belum bersedia untuk memberi kata putus selagi misi bantuannya belum selesai.

“Saya tak bagi kata putus lagi, sebab saya hanya fokus pada misi saya di sini, perkara itu saya tak fikir sangat, saya tolak ke belakang dahulu buat masa sekarang.

“Bila saya balik Melaka mungkin saya akan fikirkan balik untuk semua tu, sebab buat masa ini memang saya fokus pada misi saya dahulu,” katanya.

Terdahulu, Azwan secara sukarela datang menyelamatkan dan membantu mangsa-mangsa di kawasan yang ditimpa bencana banjir dengan bot persendiriannya telah digelar ‘Abang Viva’ memandangkan menaiki kereta tersebut berbekalkan RM50 dari Melaka.

Kisahnya tular dan mendapat perhatian media serta orang ramai sehingga ramai yang memberi sumbangan kepadanya memandangkan jasa yang ditumpahkan kepada mangsa-mangsa banjir cukup besar. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here