[VIDEO] Ketua JSPT Selangor beri penjelasan isu ambulans bagi laluan kepada VIP

0
392

TULAR satu video di platform sosial Twitter pada Ahad yang memaparkan sebuah ambulans dan kenderaan pacuan 4×4 milik Persatuan Bulan Sabit Merah dihentikan oleh anggota trafik bagi memberikan laluan kepada konvoi orang kenamaan (VIP) yang diiringi oleh Polis Trafik sehingga membangkitkan kemarahan netizen.

Menjelaskan situasi sebenar kejadian itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, tindakan sekatan itu terpaksa dilakukan oleh salah seorang anggota trafik berkenaan setelah mengambil kira penilaian awal bagi mengelakkan risiko kemalangan.

“Semua pegawai anggota JSPT sentiasa diarahkan untuk memberi keutaamaan kepada kenderaan kecemasan seperti membawa pesakit, dan anggota bertugas di persimpangan berkenaan telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan tersebut untuk tempoh masa yang singkat.

“Dalam keadaan yang ditunjukkan dalam video tersebut, sekiranya anggota trafik di persimpangan memberi keutamaan jalan kepada dua kenderaan kecemasan yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama, ianya tindakan yang akan mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan mengatasi trafik itu telah diambil oleh anggota trafik berkenanaan selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah Lalu Lintas No.9 JLN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azman menambah, anggota trafik terbabit telah mengambil langkah segera bagi memberi keutamaan jalan kepada ambulans dan kenderaan pacuan empat roda itu setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku sebaik sahaja konvoi berkenaan melepasi persimpangan itu pada tempoh yang singkat.

Katanya, kejadian itu berlaku sekitar jam 11.30 pagi ketika rombongan Perdana Menteri sedang menuju ke Masjid Al – Mustaqqim, Batu 16, Hulu Langat, Selangor dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat bagi melihat sendiri kerja-kerja pembersihan dilaksanakan pelbagai agensi yang membantu mangsa banjir.

“PDRM sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulans dan bomba,” ujarnya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here