PN gabungan paling mesra, pendekatan BN sudah usang

0
315

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Perikatan Nasional (PN) adalah gabungan yang paling mesra manakala pendekatan yang hanya disertai UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja sudah usang, ketinggalan zaman serta bermasalah.

Menurut beliau, kewujudan PN dibina dengan jalinan perpaduan yang perlu dikukuhkan dan dilakukan penambahbaikan atas asas yang sama dengan pentafsiran yang merdeka daripada ikatan fahaman penjajah.

Selain itu, katanya, tanpa bersama parti yang menunjukkan ketidaksetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak mesra terhadap Islam ataupun hanya diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“PAS tetap teguh dengan pendirian dengan menubuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dimulakan dengan konsep memilih parti Melayu Islam dan bumiputera di Semenanjung. Kemudiannya diteruskan di Sabah (bersama Bersatu dan UMNO).

“Setelah itu, berkembar pula dengan penubuhan PN bersama parti-parti bukan Islam, sehingga membolehkan penubuhan kerajaan pusat berkonsepkan kerajaan campuran PN bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berada dalam situasi dan realitinya yang tersendiri.

“Keadaan hari ini menunjukkan bahawa semua parti tidak bersendirian, malah gabungan PN ialah gabungan yang paling mesra.

“Demikian itu, disebabkan kedudukan PN yang menerima parti-parti yang tidak ekstrem dan juga parti yang masih berpegang dengan asas-asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi menambah, PAS perlu berpegang teguh dengan konsep ta‘awun siyasi yang masih baharu diperkenalkan dan menolak apa sahaja pendekatan yang lain.

“Bahkan, jauh sekali daripada berundur kepada pendekatan yang hanya disertai oleh UMNO dan BN sahaja, sebagaimana yang pernah dilaksanakan dan sudah usang ketinggalan zaman serta bermasalah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, PAS terus yakin dan percaya bahawa tidak pernah mengalami sebarang kerugian sepanjang perjalanan politiknya, walaupun pernah diperlakukan terhadapnya oleh pihak yang lain.

Malah, kata Abdul Hadi, ahli dan cawangannya juga tetap bertambah, walaupun dicantas ahli-ahlinya.

“Sehingga kerusi dan negeri yang pernah dimenanginya oleh pelbagai pihak yang tidak ikhlas pun dicantas,” katanya.

Menurut beliau, semua perkara yang berlaku itu laksana pokok yang hidup subur sentiasa menambah dahan dan rantingnya, sekalipun ia dicantas dan dipotong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here