Dakwaan batal projek Canal City punca banjir Selangor: Faekah jawab Najib

0
935

BEKAS Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Faekah Husin memberi penjelasan panjang lebar bagi merungkai kekeliruan yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pembatalan projek Canal City.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa, Najib gagal menyatakan punca utama pembatalan projek tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh yang disiarkan dalam laman Facebook Faekah:

Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan ahli Parlimen Pekan Datuk Sri Najib Razak di laman sosial berkenaan Projek Canal City yang diilhamkan kerajaan negeri Selangor Barisan Nasional pada 2004 tetapi telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (pada ketika itu) pada 2009 adalah punca kepada banjir besar yang kini melanda negeri Selangor.

Walaupun benar projek berkenaan telah dibatalkan oleh mantan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, YB Pekan gagal menyatakan sebab utama pembatalan projek tersebut.

Beliau gagal menghitung “kerugian” yang ditanggung kerajaan dan rakyat Selangor apabila projek tersebut dianugerahkan kepada syarikat swasta melalui konsep usahasama dengan anak syarikat kerajaan negeri.

Tidak juga disebut keuntungan besar yang bakal diraih oleh syarikat swasta berkenaan.

Saya tidak mengharapkan beliau mempunyai maklumat terperinci projek tersebut kerana ianya adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri tapi tidak molek bagi YB Pekan tiba-tiba mengeluarkan kenyataan salah sedemikian.

Bukan itu sahaja, adalah tidak benar bahawa peruntukan RM3 billion telah diperuntukkan bagi projek tersebut kerana ianya adalah projek usahasama antara syarikat swasta dan anak syarikat kerajaan negeri.

Bagi mengelak YB Pekan serta mereka yang cuba menggunakankan isu ini sebagai sampan ketika mahu menangguk di air banjir dan agar rakyat tidak terus dikelirukan, saya telah menyediakan ringkasan sejarah Projek Canal City berdasarkan maklumat serta fakta di dalam pengetahuan saya.

Sejarah Projek Canal City:

1. Pada 26 Februari 2003 kerajaan BN Selangor telah meluluskan permohonan anak syarikat kerajaan negeri PNSB untuk memajukan Projek Tebatan Banjir (PTB) yang merangkumi keluasan tanah 5,270.72 ekar di Mukim Tanjung Dua Belas dan Mukim Teluk Panglima Garang, Daerah Kuala Langat. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada kajian yang lebih terperinci, keluasan kawasan PTB yang baharu adalah seluas 4,907.56 ekar selaras dengan Pelan Konsep yang diluluskan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor (JPBD).

2. Projek tersebut berteraskan ‘Inland Water City’ yang membangunkan terusan air sepanjang 18 km dan Sub-Canal yang menghubungkan Sungai Klang dan Muara Sungai Langat. Justeru, pada 23 Jun 2004, kerajaan BN telah meluluskan dua hak milik tanah secara blok kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) iaitu masing-masing seluas 2,176.8 ekar dan 417.5 ekar. Manakala tanah selebihnya seluas 2,301 ekar akan melibatkan pengambilan tanah ke atas lot-lot persendirian dan pemindahan orang asal di kawasan-kawasan terlibat.

3. Satu perjanjian ‘Shareholders Agreement’ di antara PNSB dan Radiant Pillar Sdn Bhd telah ditandatangani pada 15 Januari 2004 dengan antara lain satu syarikat usahasama iaitu Canal City Constructian Sdn Bhd diwujudkan dan mempunyai obligasi seperti berikut:

i) Merekabentuk, membina dan menyiapkan terusan tebatan banjir sepanjang 18 km dengan kos RM 530 juta.
ii) Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor melakukan pengambilan tanah dengan kos RM 430 juta.
iii) Memindahkan orang asal Bukit Kemandol dan Tanjung Rabok dengan Kos RM 180 juta.
iv) Memindahkan setinggan dengan kos RM 4.87 juta.

Manakala obligasi Radiant Pillar Sdn Bhd adalah:
i) Membangunkan Perbandaran baru sekitar terusan seluas 4,907.56 ekar.
ii) Membayar pulangan sejumlah RM 1.345 billion secara berperingkat dalam tempuh 20 tahun kepada Canal City Construction Sdn Bhd untuk membiayai obligasi syarikat tersebut berjumlah RM 1.28 billion.
iii) Menjamin keuntungan minima berjumlah RM74 juta kepada Canal City Construction Sdn Bhd manakala PNSB akan memperolehi pulangan RM 22.2 juta.

Kajian JPS

Melihat kepada terma perjanjian yang tempang dan jelas menunjukkan bahawa projek ini adalah alasan untuk menganugerahkan tanah seluas 5000 ekar kepada syarikat swasta dengan keuntungan picisan untuk rakyat Selangor maka TS Khalid telah mengarahkan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS ) melihat semula projek tersebut, mengkhusus kepada penyelidikan samada terusan yang mahu dibina akan mampu mengatasi masalah banjir.

JPS telah melakukan “Desktop Study” dan hasil laporan telah diserahkan kepada Menteri Besar pada 24 Disember 2008 mendapati takungan air sedia ada yang siap dibina oleh kerajaan adalah mencukupi, tambahan pula peningkatan paras air di Lembangan Sungai Langat akan berlaku berhampiran Jeti Sritamas, Bandar Banting di antara 3cm hingga 5cm. Maka dapatan dari kajian merumuskan pembinaan terusan BUKAN penyelesaian kepada masalah banjir.

Pembatalan projek

Berpandukan kepada kaji selidik oleh JPS tersebut maka Lembaga Pengarah PNSB pada 1 Jun 2009 telah memutuskan untuk membatalkan Pembinaan Terusan di dalam Projek Tebatan Banjir dan satu Task Force PNSB diwujudkan untuk mengkaji semula keseluruhan cadangan projek dan pembangunan ke atas tanah seluas 5000 ekar tersebut. Akhirnya pada 13 Ogos 2010 PNSB telah memutuskan untuk membatalkan projek secara keseluruhan dan menandatangani ‘Termination Agreement’ dengan Radiant Pillar Sdn Bhd dan Canal City Construction Sdn Bhd.

Adalah amat jelas, keputusan pembatalan tidak dibuat dengan sembrono malah telah didukung oleh kajian daripada jabatan kerajaan yang berkenaan. Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga telah menyediakan pelan jangka panjang untuk menangani masalah air di Selangor iaitu masalah kekurangan bekalan air dan juga masalah banjir.

Hasil dari pembatalan projek tersebut kerajaan negeri telah mendapatkan semula tanah seluas hampir 2000 ekar dari syarikat berkenaan yang sebahagiannya merupakan penyelesaian kepada hutang lapuk syarikat berkenaan kepada kerajaan negeri yang gagal dikutip oleh kerajaan BN berjumlah hampir RM400 juta.

Tanah dijual murah

Tidak benar apa yang dikatakan YB Pekan bahawa tanah yang dirampas tersebut telah dijual murah kepada syarikat lain.

Sebaliknya, PNSB telah mengeluarkan notis “Request for Proposal” bagi mendapatkan pembida tertinggi bagi membangunkan tanah tersebut dan Syarikat DiJaya telah terpilih. Rancangan tersebut dijangka akan memberi pulangan sejumlah RM1,297 billion kepada kerajaan negeri berbanding rancangan BN pada 2004 sebanyak RM22 juta ( dalam tempuh 20 tahun). Ini bermakna keuntungan lebih seribu kali ganda.

Penyelesaian banjir

Berkenaan isu banjir, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid telah memulakan perancangan mitigasi banjir bagi jangkamasa 50 tahun bermula dengan pembinaan Horas 600 yang bukan sahaja membantu mengurangkan banjir tetapi juga membekalkan air mentah ketika musim kemarau.

Seluruh kawasan persisiran sungai telah digazet dan menjadi rizab sungai; tiada sebarang bentuk pembangunan boleh dilakukan. Selangor juga telah melancarkan River of Life yang antara lain memelihara, memulih dan memastikan bekalan air mentah yang mencukupi dan pada masa yang sama mengelak kejadian banjir.

Saya meninggalkan pejabat SUK pada September 2014 justeru saya tidak pasti sekiranya semua perancangan oleh Tan Sri Khalid telah diteruskan oleh pucuk pimpinan negeri selepas beliau hingga ke hari ini.

Tuduhan melulu

Akan tetapi, adalah terlalu simplistik dan spekulatif untuk menyatakan bahawa pembatalan Canal City telah menyebabkan banjir besar di Selangor. Apatah lagi tuduhan dibuat tidak berdasarkan kepada laporan jabatan kerajaan yang terlibat.

Pemimpin masyarakat, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak perlu membuang masa berhujah, menuding jari mahupun mempamerkan aksi-aksi hebat mencuci banjir tetapi hendaklah dengan segera mencari formula jangka panjang mitigasi banjir.

Doa saya agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi musibah yang amat besar ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here