JAIS lancar tabung bantu masjid, surau serta sekolah agama terjejas akibat banjir

0
305

BENCANA banjir yang melanda Negeri Selangor terutamanya di enam buah daerah termasuk Hulu Langat dan Sepang mulai 17 Disember telah mengakibatkan banyak kerosakan institusi ibadah umat Islam masjid dan surau serta bangunan sekolah agama.

Setakat jam 10 pagi semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengenalpasti sebanyak 30 buah masjid, 60 buah surau serta 30 buah sekolah agama yang terjejas teruk akibat banjir.

Ekoran itu, jawatankuasa khas JAIS yang melibatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) telah ditubuhkan serta merta.

Mereka bermesyuarat dan bersetuju untuk menyalurkan  bantuan seperti 210 unit water jet bagi kemudahan masjid, surau dan sekolah, bantuan makanan basah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) di 36 buah masjid dan surau dari Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) sebanyak RM250,000.

TIJARI, LZS dan TERAS akan terus menyalurkan sumbangan makanan kering dan keperluan harian di PPS yang lain manakala MAIS akan menyumbang kelengkapan pembersihan dan LZS akan menggantikan karpet masjid dan surau yang terjejas.

Bilik Gerakan Khas yang akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang turut ditubuhkan dan boleh dihubungi di talian 03-5514 3439/3761 untuk maklumat terkini masjid, surau dan sekolah yang terjejas.

Dalam pada itu, JAIS turut melancarkan Tabung Bencana Banjir Negeri Selangor bagi memudahkan masyarakat untuk menghulurkan sumbangan kepada institusi masjid, surau dan sekolah yang terjejas akibat banjir.

Sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) di akaun Maybank (562106-718620). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here