Tragedi chalet Bentong: Satu mayat wanita ditemui, dua lagi masih dicari – Bomba

0
414

MAYAT salah seorang daripada tiga mangsa yang hilang dalam tragedi tiga individu hilang dibawa arus sungai di kawasan chalet pusat penganginan di Bentong, Pahang ditemukan pada pagi Selasa.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani mayat wanita berkenaan ditemui pada 10.15 pagi tadi dan pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

“Pasukan saya menjumpai mayat dibawah timbunan kayu dan pasir di stesen dua (kawasan yang ditanda ada mayat). Hari ini, bomba akan menggunakan dua unit jentera pengorek untuk meneruskan kerja-kerja penggalian mencari mangsa yang dikhuatiri hilang,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Yusri berkata, setakat ini pihaknya meletakkan tiga stesen iaitu stesen pertama tempat mangsa kanak-kanak lelaki hilang manakala stesen ketiga diletakkan di susur sungai.

Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah kawasan chalet di Bentong, Pahang.

Susulan itu, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emamnuel Chang serta pasangan suami isteri Bobby Lim Yoke Hoong dan Yap Koon Lau dilapor hilang dalam tragedi itu. – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here