Warga asing baring atas jalan maut dilanggar MPV

0
241

SEORANG lelaki warga asing yang sedang baring atas jalan raya maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Phileo Damansara, Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 10.54 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga asing sedang baring atas jalan raya dan dilanggar oleh kereta yang keluar dari bangunan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan beliau meminta saksi kejadian diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rozilah Hussin di talian 016 267 9025,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here