10,548 polis, pasangan akan keluar undi awal pada 14 Disember

0
302

SERAMAI 10,548 pegawai dan anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan keluar mengundi awal pada 14 Disember ini untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran akan disediakan di pusat mengundi.

Tambahnya, pusat mengundi tersebut adalah terdiri daripada dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan sekolah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan sesi demonstrasi Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan Unit Water Cannon di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di Batu Kawa, hari ini.

Aidi berkata, demonstrasi PORU bersama Unit Water Cannon itu adalah antara siri latihan dan simulasi yang dilaksanakan kepada petugas sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangka sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

“Bagi pilihan raya kali ini, kami bersiapsiaga dengan empat pasukan PORU membabitkan kekuatan empat pegawai serta 188 anggota.

“Daripada empat pasukan itu, dua pasukan daripada unit berkenaan berada di Batalion 11 PGA Kuching, manakala dua lagi pasukan pula masing-masing ditempatkan di Batilion 10 PGA Sibu serta Batilion 12 PGA Miri.” katanya.

Selain itu, terdapat juga satu pasukan Unit Water Cannon yang bersiapsiaga di Batilion 11 PGA Kuching dengan kekuatan seorang pegawai dan 10 anggota.

Mengulas lanjut, setakat ini pihaknya mendapati tidak ada lagi mana-mana pihak atau parti yang melakukan perkara bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Beliau juga sempat mengingatkan calon yang bertanding untuk menasihatkan penyokong mereka supaya tidak melanggar SOP kerana tindakan boleh diambil terhadap parti bertanding yang gagal mengawal penyokong. 

Hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember manakala hari mengundi pada 18 Disember, dengan tempoh berkempen selama 12 hari. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here