Bot hampir tenggelam, sembilan kru terselamat

0
309

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEMBILAN kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot barter trade yang dinaiki mereka dimasuki air sehingga hampir tenggelam dalam kejadian di perairan Tanjung Pungai, Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kejadian menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) pada 11 pagi.

“Bot barter trade membawa muatan bekalan runcit itu dalam perjalanan dari Singapura ke Pulau Natuna, Indonesia berdepan dengan cuaca buruk di laut.

Sebahagian daripada sembilan kru warga Indonesia diselamatkan maritim selepas bot mereka dinaiki dimasuki air dan hampir tenggelam di perairan Tanjung Pungai, Kota Tinggi, semalam.

“Bot ronda Perkasa 30 milik Maritim Malaysia segera bertindak untuk menyelamatkan mereka. Bot barter trade itu dikendalikan sembilan kru warga Indonesia berumur antara 19 tahun hingga 48 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Nurul Hizam, kesemua kru terbabit dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili bagi urusan penyerahan kepada Konsulat Indonesia di Johor Bahru.

Dalam pada itu, beliau berkata, MRSC Johor Bahru menasihatkan komuniti marin agar sentiasa berhati-hati dan memakai jaket keselamatan sewaktu berhadapan cuaca buruk di laut.

Sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-2199401 atau talian kecemasan MERS 999. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here